
TIADA yang lebih menggembirakan daripada menyambut kelahiran seorang bayi. Antara momen yang paling menceriakan adalah memilih dan memakaikan pakaian comel buat si kecil.
Namun, sebelum bayi pulang dari hospital, pakaian bersaiz kecil yang dibeli atau diterima daripada ahli keluarga dan rakan-rakan boleh terkumpul dengan banyak.
Jika tidak disusun dengan baik, pakaian ini boleh menyebabkan bilik bayi menjadi tidak teratur dan berselerak.
Ketiadaan sistem penyimpanan yang tersusun boleh menjadikan ruang bilik bayi sempit dan menimbulkan tekanan, khususnya kepada ibu bapa yang masih menyesuaikan diri dengan rutin baharu.
BACA LAGI: Ketahui personaliti anda wanita riang, pemalu, berkerjaya dengan 6 gaya galas beg tangan
BACA LAGI: Bukan sekadar viral, keberkesanan 5 produk wajah ini mengujakan peminat dunia kecantikan
Justeru, berikut merupakan beberapa panduan berguna untuk membantu ibu bapa mengurus pakaian bayi secara sistematik dan kemas.
Asingkan pakaian mengikut saiz memudahkan proses penggantian dengan saiz yang baharu. — Gambar hiasan/Freepik
1. Susun mengikut saiz
Langkah awal yang disarankan ialah mengasingkan pakaian mengikut saiz.
Bayi membesar dengan cepat dan dengan susunan sebegini, ibu bapa dapat mengenal pasti pakaian yang tidak lagi sesuai dipakai serta memudahkan proses penggantian dengan saiz yang baharu.
Tentukan lokasi penyimpanan khusus bagi setiap kategori dan pastikan susunan tersebut dikekalkan secara konsisten. — Gambar hiasan/Freepik
2. Asingkan mengikut jenis pakaian
Selain pengasingan mengikut saiz, adalah lebih teratur jika pakaian dikategorikan mengikut jenis seperti seluar, romper, baju berlengan panjang, stokin dan sebagainya.
Tentukan lokasi penyimpanan bagi setiap kategori dan kekalkan susunan tersebut. Sebagai contoh, romper boleh disimpan dalam laci, manakala gaun atau kemeja bayi lebih sesuai digantung di dalam almari.
Penggunaan pembahagi laci juga dapat membantu mengekalkan kekemasan dan memudahkan pencarian.
Dengan menambah satu lagi rel gantungan dapat menggandakan ruang simpanan sedia ada.— Gambar hiasan/Freepik
3. Tambah rel gantungan dalam almari
Disebabkan pakaian bayi tidak memerlukan ruang besar, ibu bapa boleh mempertimbangkan untuk memasang satu lagi rel gantungan di bahagian bawah almari.
Dengan dua rel gantungan, pakaian boleh digantung di bahagian atas dan bawah, sekali gus menggandakan ruang simpanan sedia ada.
Gunakan bakul kain untuk menyimpan barangan kecil. — Gambar hiasan/Freepik
4. Gunakan bakul dan ruang tambahan dalam almari
Setiap ruang dalam bilik atau almari bayi boleh dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk bahagian belakang pintu dan rak bahagian atas.
Bakul kain atau plastik boleh digunakan untuk menyimpan barangan seperti aksesori rambut, topi, kain lampin dan stokin.
Kaedah ini bukan sahaja menjadikan barangan lebih mudah dicapai, malah menjadikan ruang penyimpanan lebih teratur.
Labelkan setiap laci, bakul atau rak bagi memudahkan pencarian dan memastikan susunan kekal teratur. — Gambar hiasan/Media sosial
5. Labelkan setiap bahagian penyimpanan
Pelabelan merupakan langkah penting dalam memastikan sistem penyimpanan kekal teratur. Penggunaan pelekat label membolehkan setiap laci, bakul atau rak ditanda dengan jelas.
Ini bukan sahaja membantu ibu bapa, malah memudahkan ahli keluarga lain untuk mengetahui ruang simpanan sesuatu barangan.
Amalan ini juga boleh diterapkan kepada anak-anak apabila mereka sudah mula belajar mengemas sendiri.
Sediakan ruang khas untuk pakaian yang tidak lagi muat untuk kegunaan semula atau sumbangan. — Gambar hiasan/Freepik
6. Sediakan ruang simpanan pakaian yang tidak muat
Bayi membesar dengan cepat dan secara berterusan memerlukan pakaian baharu. Oleh itu, adalah penting untuk menyediakan ruang simpanan bagi pakaian yang tidak lagi muat dipakai.
Pakaian tersebut boleh dicuci, dilipat dan disimpan dalam bekas bertutup yang telah dilabel mengikut saiz atau kategori.
Langkah ini akan memudahkan sekiranya pakaian tersebut ingin digunakan semula, disumbangkan atau dipinjamkan kepada ibu bapa lain pada masa akan datang.
Antara peralatan yang boleh membantu dalam penyusunan pakaian bayi termasuklah:
- Bakul pelbagai saiz: Sesuai untuk menyimpan barangan kecil seperti selimut, aksesori atau kasut bayi. Bakul juga dapat menambah elemen estetik dalam bilik bayi.
- Pembahagi almari: Digunakan untuk menggantung pakaian mengikut saiz agar mudah dicari dan disusun.
- Pembahagi laci: Membantu mengasingkan pakaian kecil seperti stokin, bib dan romper agar tidak bercampur.
- Pelekat label: Digunakan untuk melabel laci dan bekas penyimpanan supaya setiap barangan dapat diletakkan di tempat yang betul.
Sama ada bayi masih dalam kandungan atau sudah melepasi fasa bayi baru lahir, mempunyai sistem penyusunan pakaian yang sesuai amat membantu.
Ia bukan sahaja memudahkan tugasan harian, malah memberi ketenangan dan menjimatkan masa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram