Vattenfall, Superuse cipta rumah 'tiub' mesra alam dari turbin angin lama


  • Hias
  • Selasa, 10 Jun 2025

The Nestle ialah sebuah rumah kecil yang dibina daripada nacelle turbin angin. — Agensi

SYARIKAT tenaga Sweden, Vattenfall, telah bekerjasama dengan firma seni bina dari Belanda, Superuse, untuk menghasilkan satu konsep inovatif menggunakan semula nacelle turbin angin yang sudah tidak berfungsi menjadi rumah kecil mesra alam.

Turbin angin biasanya beroperasi selama kira-kira 20 tahun sebelum perlu dilupuskan dan proses membongkar serta mengitar semula komponennya sering menghadapi pelbagai kesukaran.

Walaupun beberapa bahagian seperti menara besi dan bilah sudah mula digunakan semula, bahagian nacelle yang mengandungi komponen mekanikal dan elektrik masih sukar untuk dikitar semula.

BACA LAGI: Kuah kafe estetik berjiwa tradisi sentuhan Hannah B

BACA LAGI: Kreativiti tanpa sempadan, pakar DIY ubah suai kotak bunga jadi Ottoman mewah

Projek itu bertujuan mengubah bahagian nacelle tersebut menjadi kediaman kecil yang sesuai untuk gaya hidup lestari.

Prototip pertama dinamakan Nestle, dengan keluasan ruang tamu 36 meter persegi merangkumi ruang tamu modular, kawasan tidur mezzanine, dapur serta bilik mandi.

Dari segi tenaga, rumah itu dilengkapi dengan sistem pemanasan menggunakan pam haba dan panel solar untuk menjana tenaga sendiri.

Ia juga mempunyai penebatan yang diperkuat dengan kaca tiga lapis serta sistem pengudaraan yang menggunakan teknologi pemulihan haba bagi menjimatkan tenaga.

Nestle dibina menggunakan nacelle yang telah beroperasi selama 20 tahun pada ketinggian lebih 100 meter di ladang angin Gols, Austria.

Saiznya sekitar empat meter lebar, 10 meter panjang dan tiga meter tinggi.

Perabot dalamannya juga menggunakan bahan kitar semula, termasuk meja yang diperbuat daripada bilah turbin angin.

Rumah mini itu sesuai digunakan sebagai tempat tinggal sementara atau kegunaan kecemasan, malah boleh menjadi pilihan utama bagi mereka yang mengutamakan kehidupan minimalis dan mesra alam.

Selain inisiatif tersebut, Vattenfall berhasrat mengitar semula sepenuhnya bilah turbin anginnya menjelang 2030.

Pada masa akan datang, usaha itu akan diperluaskan untuk merangkumi bahagian nacelle juga. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram