Anggun berbusana biru motif floral, Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke majlis pernikahan puteri Raja Di Hilir Perak


  • Gaya
  • Isnin, 26 Mei 2025

Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis akad nikah anakanda Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain iaitu Raja Sarina Intan Bahiyah bersama pasangannya, Muhammad Firdaus Muhammad Sukor pada Ahad. — Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

RAJA Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis akad nikah anakanda Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah, iaitu Raja Sarina Intan Bahiyah bersama pasangannya, Muhammad Firdaus Muhammad Sukor.

Menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, majlis penuh adat dan istiadat diraja itu berlangsung di Istana Firuz, Ipoh, Perak pada Ahad dan turut disaksikan oleh kerabat diraja lain selain keluarga terdekat dan jemputan terpilih.

Raja Zarith Sofiah tampil menawan dalam busana kurung moden berona biru dengan motif floral merah jambu dan krim, lengkap dengan perincian lace dan taburan manik halus pada hujung lengan serta keliling bawah baju, menyerlahkan keanggunan baginda.

BACA LAGI: Apa stail hijab yang trending kini, 'beaded shawl' antara rekaan kembali hangat

BACA LAGI: [VIDEO] Supermodel Britain turun Malaysia demi misi selamatkan harimau Malaya daripada terus pupus

Penampilan baginda turut disempurnakan dengan sepasang kasut ballet berona perak dan beg tangan clutch senada.

Sebagai pelengkap gaya, baginda mengenakan seutas rantai perak bertatahkan batu permata biru sapphire yang menaikkan lagi seri diraja

Turut berangkat menyerikan majlis ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, diiringi Raja Puan Muda Perak yang juga bonda kepada pengantin perempuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Tun Aminah bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim.

Untuk makluman, Raja Sarina ialah anakanda ketiga hasil perkahwinan antara Raja Iskandar Dzulkarnain dan Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim yang juga puteri kepada Sultan Kedah ke-27 dan Yang di-Pertuan Agong ke-5 serta ke-14, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Raja Zarith Sofiah pula merupakan adinda kepada Raja Iskandar Dzulkarnain, menjadikan baginda ibu saudara kepada Raja Sarina.

Kedua-duanya ialah putera dan puteri kepada Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah iaitu Sultan Perak ke-33 yang memerintah dari 1963 sehingga 1984. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram