Mesej terakhir tak berjawab, klip rambut jadi kenangan abadi sahabat mangsa bas UPSI


  • Cinta
  • Selasa, 10 Jun 2025

Haznienahsln (kanan) berkongsi beberapa teks mesej yang dihantar kepada Nurul Fatihah (kiri) selepas kejadian.

TRAGEDI nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak yang berlaku di Gerik awal pagi Isnin meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh masyarakat.

Dalam kejadian yang memilukan itu, seorang pelajar bernama Nurul Fatihah antara mangsa terkorban, meninggalkan kenangan dan duka yang sukar dilupakan.

Seorang sahabat rapat mangsa, Haznienahsln, berkongsi di laman Thread mesej terakhir yang dihantar kepada Nurul Fatihah melalui WhatsApp.

BACA LAGI: Vattenfall, Superuse cipta rumah 'tiub' mesra alam dari turbin angin lama

BACA LAGI: Kuah kafe estetik berjiwa tradisi sentuhan Hannah B

Namun tidak sempat dibalas, mesej itu hanya menunjukkan satu tanda tanpa sebarang respons, seolah-olah menjadi petanda yang menyayat hati.

Dalam ciapannya, Haznienahsln meluahkan rasa kehilangan yang amat mendalam.

"Allahu sahabat seperjuanganku, nahas bas UPSI di Gerik pagi tadi (Isnin) Nurul Fatihah sentiasa dalam ingatan. Amirah dari pagi tunggu Tihah (Fatihah) respon untuk tahu khabar tapi semuanya aturan Allah. Tihah kembali kepada pencipta. Semoga Tihah dapat mencapai cita-cita menjadi seorang guru di sana kelak, berlarilah di syurga.

"Amirah simpan sini kenangan bersama Cikgu Fatihah cantik sangat, tulisnya penuh sayu.

 

 

Haznienahsln juga berkongsi beberapa teks mesej yang dihantar kepada Nurul Fatihah selepas kejadian, mengandungi doa dan harapan agar sahabatnya itu selamat.

"Tihah macam mana?"

"Semoga Allah permudah segalanya, semoga Tihah selamat."

"Tihah selamat jalan pulang ke syurga, aku dari tadi tahu kau ada dalam itu tak senang duduk. Kelas semantik tadi pagi tak fokus langsung nak tahu khabar kau jumpa di sana Tihah."

"Amirah sayang Tihah sampai bila-bila. Amirah sempat bagi Tihah kepit rambut yang sama hadiah untuk Tihah masa itu."

Mesej-mesej itu menggambarkan rapatnya ikatan persahabatan mereka, dan betapa dalamnya kesedihan yang dirasai selepas kehilangan tidak terduga.

Untuk info, tragedi bas UPSI itu berlaku ketika bas yang membawa pelajar sedang dalam perjalanan dari Terengganu, namun terlibat dalam kemalangan serius di kawasan Gerik selepas pemandu kenderaan dipercayai pandu laju.

Kejadian itu telah meragut nyawa beberapa pelajar dan mencederakan ramai yang lain, sekali gus menggemparkan komuniti universiti dan seluruh negara.

Kisah sahabat yang berkongsi mesej terakhir itu menjadi satu peringatan pilu tentang betapa rapuhnya kehidupan dan betapa pentingnya menghargai setiap detik bersama insan tersayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram