
MENINGGALKAN pekerjaan yang stabil demi mengejar impian bukanlah keputusan mudah.
Namun lain pula bagi bekas pramugari, Khusboo Pradhan yang membuktikan ia sangat berbaloi.
Bekas pramugari syarikat penerbangan IndiGo itu kini telah berjaya menjejakkan kaki ke kokpit sebagai juruterbang, sekali gus menjadi inspirasi ramai di media sosial.
BACA LAGI: Mesej terakhir tak berjawab, klip rambut jadi kenangan abadi sahabat mangsa bas UPSI
BACA LAGI: Vattenfall, Superuse cipta rumah 'tiub' mesra alam dari turbin angin lama
Khusboo berkongsi sebuah video perjalanan transformasinya yang kini tular di Instagram, memperlihatkan perubahan dari seorang pramugari di lorong kabin kepada juruterbang berwibawa.
Video tersebut bermula dengan gambar dirinya memakai uniform pramugari sebelum beralih kepada pakaian juruterbang, disertai kapsyen menyentuh hati ramai pihak.
"Gadis berusia 18 tahun ini belum tahu lagi (masa depan), tetapi dalam beberapa tahun, dia akan berhenti kerja untuk menjadi juruterbang."
Dalam kapsyen postingnya, Khusboo menzahirkan rasa syukur atas kesabaran, usaha gigih dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus, yang membawanya sejauh ini.
"Bertahun-tahun menunggu, bekerja keras, sabar, konsisten dan sokongan keluarga telah membawa saya ke tahap ini.
"Dengan segala keberkatan ini, saya yakin suatu hari nanti saya akan menjadi juruterbang yang baik dan membanggakan," tulisnya penuh harapan.
Dia turut berkongsi refleksi tentang perjalanan hidupnya yang penuh liku namun membentuk dirinya menjadi lebih kuat.
"Saya sudah tahu bagaimana masa depan saya kerana saya telah berusaha dengan sangat keras. Banyak cabaran yang saya lalui dan setiap kali saya bangkit dengan lebih kuat. Saya mempunyai cerita untuk ditulis dan legasi untuk dicipta," katanya.
Khusboo juga menegaskan bahawa impian itu bukan hanya miliknya seorang, tetapi juga milik seluruh keluarganya yang telah banyak berkorban dan sentiasa menyokongnya.
"Menjadi juruterbang bukan sekadar impian saya, tetapi juga impian keluarga saya. Mereka telah berkorban, bermimpi dan berharap bersama saya. Legasi yang kami bina ini akan kami cipta bersama," katanya penuh semangat.
Kisah Khusboo mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang turut berkongsi impian mereka untuk menjadi juruterbang.
Seorang pengguna menulis, "Impian saya juga untuk menjadi juruterbang. Saya akan bekerja sebagai kru dahulu untuk kumpul wang bagi latihan. Kamu inspirasi kami semua."
Manakala seorang lagi berkata, "Kamu benar-benar motivasi sejati. Semoga semua impianmu tercapai."
Perkongsian Khusboo itu secara tidak langsung telah memberi semangat kepada mereka yang berani mengejar cita-cita, malah membuktikan bahawa dengan ketekunan dan sokongan, segala impian boleh dicapai.
Legasi ingin dibinanya kini menjadi inspirasi kepada ramai generasi muda yang berani bermimpi dan berusaha tanpa mengenal putus asa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram