
JIKA dahulu abaya dikenali sebagai pakaian labuh berwarna gelap yang sinonim dengan wanita Timur Tengah, kini ia semakin diterima dalam kalangan penggemar fesyen di Malaysia.
Tidak lagi terhad untuk ke masjid atau Tanah Suci, abaya kini digayakan ke pejabat, majlis rasmi dan juga sebagai pakaian harian.
Gaya longgar dan sopannya menjadikan abaya sesuai untuk semua wanita, tanpa mengira usia atau bentuk badan.
BACA LAGI: Pakar dedah bagaimana secangkir kopi sehari bawa manfaat bagi wanita pertengahan usia
BACA LAGI: Hari Arafah setahun sekali, 6 pilihan doa mustajab untuk ibu bapa titipkan buat anak tercinta
Sara turut diiktiraf sebagai penerima Anugerah 100 Top Young CEO 2022.
Melihat perkembangan ini, jenama tempatan AbayaBySara yang diasaskan oleh Sara Syaza Mohd Jaafar tampil menawarkan abaya berkualiti tinggi dari Dubai dengan sentuhan moden dan harga yang berpatutan.
Menurut Sara, minat yang mendalam terhadap abaya mendorong beliau menjadikan busana itu sebagai fokus utama perniagaannya.
“Saya sangat suka abaya. Memang setiap hari saya pakai abaya. Saya juga suka tengok orang pakai abaya kerana mereka sentiasa tampak siap cantik dan kemas," katanya ketika ditemu bual Majoriti.
Diterbang khas dari Dubai
Bermula secara kecil-kecilan sejak 2016, AbayaBySara mengetengahkan rekaan eksklusif hasil ciptaan Sara sendiri yang dijahit oleh tukang jahit di Dubai.
“Kami reka dan minta tukang jahit di sana hasilkan secara jahitan tangan. Kami tidak ambil stok sedia ada, semuanya ditempah khas,” jelasnya.
Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, pemilihan Dubai dibuat secara khusus bagi memastikan kualiti dan kemasan terbaik.
“Material dan kemasan dari Dubai tak sama dengan tempat lain. Memang boleh nampak beza dari segi kualiti dan jahitan,” katanya.
Tambahnya, dalam menyesuaikan rekaan dengan cuaca di Malaysia, beliau memilih fabrik seperti kain nida dari Dubai yang ringan, tidak jarang dan selesa dipakai di dalam dan luar rumah.
Namun akuinya, proses pemilihan fabrik tetap mencabar, khususnya apabila perlu membuat pembeliau dari jarak jauh.
“Kadang gambar nampak cantik, tetapi apabila sampai lain. Saya pernah tanggung kerugian kerana material tak sesuai. Tapi yang penting pelanggan rasa berbaloi dengan apa yang mereka bayar,” katanya.
AbayaBySara menawarkan abaya daripada material sejuk dan tidak perlu digosok, khusus untuk kegunaan ketika menunaikan umrah atau haji. — Instagram/@abayabysara
Permintaan
Mengulas mengenai permintaan pula, ibu kepada dua orang anak itu berkata, ia berbeza dengan baju kurung yang lebih bermusim, abaya kini semakin diterima sebagai pakaian harian.
“Dulu orang beli abaya untuk menunaikan umrah, haji atau raya sahaja. Sekarang ramai yang pakai setiap hari, ada juga yang jadikan kardigan,” ujarnya.
Perubahan tersebut sekali gus mencerminkan perubahan persepsi wanita terhadap abaya.
Dari busana tradisi Timur Tengah, kini ia menjadi sebahagian gaya hidup moden di Malaysia.
Menjelang Hari Raya Aidiladha, AbayaBySara melancarkan koleksi khas yang lebih ringkas dan selesa, termasuk rekaan sederhana dan sedikit fancy.
“Setiap beberapa bulan kami perkenalkan rekaan baharu, bukan terhad kepada musim perayaan. Kini kami ada lebih 100 rekaan termasuk untuk remaja dan abaya sarung terus tanpa inner,” katanya.
Untuk pelanggan yang ingin menunaikan umrah atau haji, jenama terlibat turut menawarkan abaya daripada material sejuk dan tidak perlu digosok, menjadikannya pilihan praktikal untuk kegunaan di Tanah Suci.
Menurut Sara, permintaan abaya rona pastel juga meningkat dalam kalangan wanita di Malaysia. — Instagram/@abayabysara
Dari segi warna, walaupun hitam kekal sebagai pilihan utama, permintaan terhadap warna pastel dan lembut juga semakin meningkat.
Selain itu, melihat kepada asal-usul abaya sebagai pakaian yang menutup aurat dan tidak menarik perhatian, kemunculan rekaan moden dengan perincian seperti manik dan kilauan bling mungkin dilihat bertentangan dengan fungsinya.
Namun bagi Sara, semuanya bergantung kepada niat pemakai.
“Kalau reka bentuk itu masih longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh, ia masih dalam batas syariah.
"Ada pelanggan mahu kelihatan menarik untuk acara anugerah, tetapi tetap menjaga aurat. Abaya boleh memenuhi keperluan itu,” katanya.
Melalui jenama AbayaBySara, Sara berharap abaya boleh menjadi permulaan kepada perubahan positif dalam gaya hidup wanita, terutamanya golongan muda.
“Ramai yang segan nak mula pakai abaya kerana takut dilihat pelik oleh rakan. Tapi tidak mengapa, kita boleh mula perlahan-lahan, misalnya dengan gaya kardigan dahulu.
"Lama-kelamaan kita akan lebih selesa dan yakin,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada para pelanggan yang menyokong perjalanannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram