Rai Aidiladha tidak semestinya berabaya, 3 selebriti ini pilih kurung, kaftan bercorak ceria


  • Gaya
  • Ahad, 08 Jun 2025

Nora (kiri), Che Ta dan Scha membuktikan bahawa busana bercorak tetap relevan sempena Hari Raya Aidiladha.

HARI Raya Aidiladha ialah salah satu perayaan penting dalam kalendar umat Islam di Malaysia.

Selain daripada makna dan ibadahnya, perayaan ini juga sering menjadi platform untuk mempamerkan fesyen tradisional dengan cita rasa tersendiri.

Perayaan tersebut kebiasaannya dikaitkan dengan pemakaian abaya polos yang ringkas dan anggun.

BACA LAGI: 'Eternally Iconic', Amir Ahnaff, Christinna Kuan antara wajah lokal terpilih untuk menyerlah dalam kempen baharu Bvlgari

BACA LAGI: Trend tudung bawal hangat sepanjang 2025, ini 6 jenama tempatan paling menyerlah

Namun, tahun ini beberapa selebriti tanah air tampil ‘memecahkan’ stereotaip tersebut dengan memilih busana bercorak yang lebih menarik dan berperincian.

Berikut ialah tiga selebriti wanita yang memilih untuk tampil ceria dengan busana bercorak:

 

 

1. Rozita Che Wan

Rozita Che Wan mencuri tumpuan seperti biasa dengan penampilan yang penuh gaya.

Beliau memilih baju kurung bermotif bunga, dihias perincian manik halus yang menambah seri pada busana.

Potongan bahu puff memberi sentuhan moden pada rekaan tradisional tersebut, menjadikan keseluruhan gaya tampak lebih mewah dan menawan.

Penampilan Scha dilengkapkan dengan selendang rona putih yang menambah seri gaya raya Aidiladha beliau. — Instagram/@schaalyahya

2. Scha Alyahya

Pelakon dan model, Scha Alyahya tampil manis dan feminin dalam kaftan bercorak bunga rona merah jambu terang, diserikan dengan elemen warna jingga yang memberi sentuhan ceria dan moden.

Ibu kepada dua orang anak itu turut melengkapkan gayanya dengan seledang putih yang menaikkan lagi elemen klasik dan feminin.

Nora memilih untuk menambah seri gayanya dengan beg tangan berwarna merah jambu. — Instagram/@noradanish

3. Nora Danish

Nora Danish pula memilih baju kurung moden potongan batwing dari label tempatan Innai & Co.

Busana dengan corak kebiruannya dipadankan dengan tudung satin rona kelabu cerah yang menambah seri penampilannya.

Pelakon tersebut turut menyarungkan selendang di bahu sebagai pelengkap gayanya.

Tiga gaya berbeza tersebut membuktikan bahawa busana bercorak tetap relevan dan mampu menjadi pilihan utama sempena Hari Raya Aidiladha.

Ia juga memberi inspirasi kepada penggemar fesyen untuk bereksperimen dengan corak, warna dan potongan tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada gaya abaya polos yang biasa dilihat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram