
SETIAP kali tibanya Hari Raya Aidiladha, salah satu detik yang biasa dilihat ialah kanak-kanak turut hadir menyaksikan proses penyembelihan haiwan korban.
Ada yang memerhati dengan penuh minat, tidak kurang juga yang menangis ketakutan.
Namun, sejauh mana pendedahan ini sebenarnya sesuai untuk usia mereka?
Satu hantaran yang tular di platform Threads mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga maya apabila seorang ahli terapi kanak-kanak, Aishah Adnan menyatakan bahawa kanak-kanak berusia kosong sehingga enam tahun tidak sepatutnya melihat proses penyembelihan haiwan korban.
BACA LAGI: Jangan pandang remeh, elak kongsi alat peribadi ini walau sesama ahli keluarga
Kata beliau, ia berikutan boleh memberi kesan kepada perkembangan emosi dan sosial mereka.
“Anak-anak pada usia 0-6 tahun belum dapat membezakan antara perkara nyata dan perkara yang boleh ditiru atau tidak, serta cenderung meniru apa yang mereka lihat, bukan apa yang diterangkan.
Mereka tidak memahami selain melihatnya sebagai kekerasan,” jelasnya dalam hantaran berkenaan.
Menurut beliau, menyaksikan darah dan penyembelihan berpotensi mencetuskan trauma, kebingungan dan tingkah laku agresif terhadap rakan sebaya serta haiwan di sekeliling mereka.
“Mereka belum bersedia untuk memahami makna korban sepenuhnya. Tugas ib apa adalah memelihara mental anak-anak daripada pengalaman menakutkan yang akan mempengaruhi empati dan perilaku sosial mereka,” tulisnya lagi.
Tambahnya, tindakan membawa anak kecil melihat proses sembelihan seolah-olah mempromosikan kekerasan sebagai perkara biasa dalam hidup.
Perkongsian tersebut turut mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.
Rata-rata daripada mereka bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan itu.
"Anak saya pernah menyaksikan proses korban sejak usia setahun. Walaupun sudah diberi penjelasan, dia tetap sedih dan sukar melupakan pengalaman itu.
"Rupanya ada kaitan dengan sifat empati dia yang kita tak perasan selama ini, kata @ imranrem.
“Rasanya tiada masalah. Anak saudara saya seawal usia dua tahun sudah tengok. Sekarang sudah lima tahun. Dia sangat teruja. Jadi, daripada situ boleh ajar anak-anak tentang Islam,” komen @em_ie_mie.
“Anak saya berusia lima tahun tengok sendiri. Ketakutan perlu dihadapi, keberanian perlu disusuri,” kata @suhelmiazham.
Selain itu, ada juga yang bersetuju dengan hantaran tersebut, tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman peribadi.
“Saya tengok masa kecik. Trauma dan menangis. Sampai sekarang tengok lembu yang nak dikorban, air mata menitik.
“Kalau saya tak tahu ada lembu nak dikorbankan, saya okey sahaja,” kata @kakak_kekucing.
“Saya setuju. Dulu saya tengok semasa usia lima dan enam tahun, saya balik rumah menangis. Takut apabila mak abah bawa kaki tulang lembu balik. Sejak itu memang saya tak makan lembu,” kongsi @qast_amer.
Sehubungan itu, Majoriti kini sedang menunggu maklum balas daripada pakar agama bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai perbincangan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram