Lepas 2 kali IVF, akhirnya hamil secara 'natural', doktor jelas hubung kait turun berat badan dengan kesuburan


  • Bonda
  • Ahad, 08 Jun 2025

Seorang wanita berasa bersyukur kerana diberikan zuriat selepas lapan tahun menunggu. — Gambar Hiasan

PERJALANAN mendapatkan zuriat sememangnya penuh dengan cabaran emosi, fizikal dan kewangan.

Bagi sesetengah pasangan, ia melibatkan tempoh bertahun-tahun mencuba, menjalani rawatan kesuburan yang mahal dan menanggung harapan tidak pernah padam.

Namun, banyak kisah yang membuktikan bahawa usaha kecil yang konsisten termasuk menurunkan berat badan mampu membuka ruang kepada kejayaan.

BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

BACA LAGI: Tak perlu menunggu lama, saintis berjaya mencipta ujian ultra pantas yang boleh kenal pasti jenis tumor otak dalam masa 2 jam

Baru-baru ini, pakar obstetrik, ginekologi dan kesuburan, Dr. Maiza berkongsi kisah inspirasi pasangan yang berjaya hamil secara semula jadi selepas lapan tahun mencuba untuk mendapatkan zuriat.

Menerusi satu hantaran di platform Threads, Dr. Maiza menceritakan pengalamannya bertemu semula dengan pasangan suami isteri yang sebelum ini pernah menjalani dua pusingan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), namun gagal.

"Kedua-dua mereka mempunyai indeks jisim badan (BMI) sekitar 32 kilogram meter persegi (kg/m²). Kali ini, wajah mereka kelihatan lain, lebih berseri-seri," tulis Dr. Maiza.

Pasangan tersebut menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Dr. Maiza atas galakan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Walaupun penurunan berat badan mereka tidak begitu ketara, namun dengan mengikuti nasihat pemakanan sihat dan senaman ringan, dia disahkan hamil secara semula jadi.

“Doktor, terima kasih sangat bagi motivasi untuk turunkan berat badan. Berat kami turun tak banyak pun, tapi kami ikut nasihat doktor iaitu eat clean, exercise sikit. Sekarang saya hamil secara natural , tak sempat buat IVF lagi,” ujar pasangan itu kepada Dr. Maiza.

Menurut Dr. Maiza, obesiti merupakan salah satu faktor utama yang menjejaskan kesuburan pasangan.

Antara kesan utama ialah gangguan kepada kualiti telur dan sperma, ketidakseimbangan hormon reproduktif, serta penurunan kadar kejayaan rawatan kesuburan seperti IVF.

Namun begitu, penurunan berat badan sebanyak 5 hingga 10 peratus sudah cukup untuk memberikan kesan positif.

Ia dapat membantu memperbaiki proses ovulasi, meningkatkan kualiti telur dan sperma, serta meningkatkan tindak balas terhadap rawatan kesuburan.

Mengulas lanjut, Dr. Maiza turut menekankan kepentingan sokongan emosi kepada pasangan yang menghadapi cabaran TTC ( trying to conceive ).

“Kadang kita rasa macam tak buat banyak pun, cuma nasihat biasa dan cakap elok-elok.

"Tetapi bagi mereka, itu mungkin kali pertama rasa ada harapan. Kata-kata positif kita mungkin kecil tetapi impaknya besar untuk hati yang sedang berjuang ," jelasnya.

Beliau turut menyeru pasangan TTC agar tidak putus asa.

"Setiap usaha kecil tu ada makna. Mula perlahan-lahan, janji konsisten," katanya. - Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram