
SIAPA sangka sebuah selaman drift dive yang biasa boleh bertukar menjadi detik cinta paling bermakna seumur hidup?
Itulah yang terjadi kepada Maxwel Hohn apabila beliau melamar kekasih hatinya, Cailin Lindsay dalam momen romantik yang berlangsung di dasar lautan Galápagos, Amerika Selatan lengkap dengan peti harta karun, sepucuk surat cinta dan sebentuk cincin pertunangan.
Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Maxwel berkongsi perancangannya selama setahun untuk melamar Cailin secara unik dan penuh kejutan.
BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang
Rakaman yang dikongsikan menunjukkan Maxwel menyembunyikan sepucuk surat dalam sebotol kaca serta sebuah peti yang menyerupai peti harta karun, lengkap dengan gambar kenangan mereka berdua.
"Apa yang bermula sebagai selaman biasa berubah menjadi momen paling tidak dapat dilupakan dalam hidup kami iaitu sebuah peti harta karun tersembunyi, sebentuk cincin, sepucuk surat cinta yang dibasahi air dan jawapan 'ya’ yang takkan kami lupakan," tulis Maxwel.
Menurut Maxwel, selaman itu hampir menjadi kacau-bilau akibat arus laut yang kuat.
Namun, keajaiban berlaku apabila seekor penyu laut kelihatan seolah-olah ‘menjaga’ lokasi peti harta karun yang disembunyikan.
Cailin kemudian menemui peti tersebut dan membukanya sehingga menyedari situasi yang sedang berlaku.
Tangisan gembira yang mengaburkan topeng muka selaman menjadi saksi kepada detik Cailin mengangguk tanda menerima lamaran tersebut.
Maxwel turut merakamkan penghargaan kepada kru selaman dari Galaxy Diver Liveaboard yang membantu menjayakan kejutan itu, serta rakan-rakan penyelam dan jurugambar yang turut serta dalam momen istimewa berkenaan.
Antara jurugambar yang terlibat termasuk Zimy Da Kid, Steve Woods, Emmett Sparling dan Nicole Holman.
Lamaran unik itu bukan sahaja mencuri tumpuan netizen di media sosial, malah menjadi bukti bahawa cinta sejati boleh diraikan di mana-mana sahaja termasuk di dasar laut yang penuh keajaiban.
“Laut sudah menjadi sebahagian besar hidup saya, namun tiada yang menandingi selaman ini,” tambah Maxwel. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram