
KESELAMATAN anak-anak di rumah terutamanya di kediaman bertingkat tinggi bergantung sepenuhnya kepada perhatian, tindakan dan kepekaan ibu bapa.
Tragedi menyayat hati yang terus berlaku menunjukkan bahawa kegagalan mengambil langkah pencegahan boleh mengorbankan nyawa anak kecil dalam sekelip mata.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Madya Dr. Farah Nini Dusuki menegaskan agar ibu bapa sentiasa memantau keadaan anak mereka.
"Jika anda tinggal di kediaman bertingkat, jangan tinggalkan kanak-kanak kecil tanpa pengawasan dan pastikan langkah keselamatan dipasang.
"Marilah kita melakukan segala yang kita boleh untuk mengelakkan kehilangan nyawa yang tidak berdosa lagi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: Nak beli rumah pertama? Ketahui 10 tip ini untuk elak tersilap langkah dan menyesal kemudian hari
BACA LAGI: Lepas 'berhijrah' ke Pulau Siargao, Ben Amir buka Rasa Siargao perkenal masakan Malaysia
Tidak hanya itu, Farah Nini berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan pengurusan bersama (JMB) dan badan pengurusan semua bangunan bertingkat harus menerajui kempen kesedaran awam tentang keselamatan rumah dengan menyasarkan ibu bapa, penjaga dan komuniti.
Usaha pendidikan itu harus dimasukkan ke dalam program kesihatan masyarakat dan disebarkan melalui pelawat kesihatan, khususnya kepada isi rumah yang mempunyai anak kecil.
PBT mesti menjalankan pemeriksaan berkala ke atas unit kediaman bertingkat, terutamanya hartanah sewa untuk memastikan pematuhan piawaian dan ciri keselamatan kanak-kanak.
"Rumah tidak boleh menjadi zon berisiko tinggi untuk kanak-kanak; ia mesti menjadi tempat keselamatan, perlindungan dan maruah," katanya.
Tambah beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga harus menggubal undang-undang khusus untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di bangunan kediaman bertingkat.
Ini termasuk mewajibkan semua unit pangsapuri dan flat termasuk unit sewaan, dilengkapi dengan jeriji keselamatan atau jaringan pelindung pada tingkap dan balkoni.
Selain itu, piawaian reka bentuk keselamatan minimum untuk unit bangunan tinggi mesra kanak-kanak mesti diwujudkan di bawah undang-undang atau peraturan bangunan sedia ada.
"KPKT dan PBT mesti menyemak semula garis panduan reka bentuk bangunan semasa bagi memastikan pertimbangan keselamatan kanak-kanak disepadukan sebagai keperluan wajib di semua pembangunan kediaman bertingkat," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dipercayai terjatuh dari balkoni tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pagi Khamis.
Sebelum itu, pada 21 Mei, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas jatuh dari tingkat 29 kondominium di Puchong, Selangor.
Hanya beberapa hari sebelumnya, pada 17 Mei, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan terjatuh dari tingkat tujuh sebuah unit perumahan awam di Presint 9, Putrajaya.
“Kematian ini bukan kemalangan, tetapi ia boleh dicegah. Ketiadaan ciri keselamatan asas di rumah bertingkat secara langsung menyumbang kepada kehilangan nyawa muda ini.
"Ini tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa menegakkan hak kanak-kanak,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram