
JIKA dahulu fesyen dianggap sebagai satu bentuk pematuhan terhadap norma, kini generasi muda atau Gen Z tampil mengubah perspektif itu.
Fesyen bagi generasi terlibat bukan sekadar pakaian, tetapi satu bentuk ekspresi diri yang bebas, berani dan penuh kreativiti.
Mereka tidak lagi terikat kepada satu gaya tertentu, sebaliknya mereka mencipta trend baharu dengan mencampur adukkan gaya lama dan moden serta memanfaatkan media sosial sebagai pentas utama untuk memaparkan identiti mereka.
BACA LAGI: Mengapa sebegitu mudah cinta suami berubah? Pudarnya kasih sayang, kesan hati mulai menjauhi Tuhan
Berikut adalah lima trend menjadi ikutan Gen Z:
Gaya 'streetwear' kebiasaannya menampilkan pakaian bersaiz besar. — Instagram/@saramuzam
1. Streetwear
Streetwear menjadi pilihan utama Gen Z kerana ia melambangkan kebebasan dan tidak terikat pada aturan fesyen konvensional.
Diinspirasikan daripada budaya hip-hop, sukan dan rave era 90-an serta awal 2000-an, gaya ini menampilkan pakaian bersaiz besar seperti t-shirt, hoodie longgar, seluar baggy dan kasut sneakers tebal.
Lebih daripada sekadar gaya, streetwear adalah ruang untuk menyuarakan keunikan masing-masing.
Jenama-jenama besar seperti Nike turut menyesuaikan koleksi mereka untuk memenuhi citarasa generasi ini, menjadikan mereka antara jenama paling digemari anak muda.
Di Malaysia, tudung beads kini kembali menjadi popular. — Instagram/@aleayazuan
2. Retro dan nostalgia
Bagi Gen Z, masa lalu adalah sumber inspirasi tanpa batas. Mereka membawa kembali gaya grunge 90-an, keanggunan era 70-an dan estetika mod 60-an, lalu menggabungkannya dengan sentuhan kontemporari.
Daripada jaket oversized, corak tie-dye sehinggalah seluar kembang, semuanya kembali mewarnai gaya harian mereka.
Menariknya, trend ini juga berperanan dalam menggalakkan kelestarian alam apabila pakaian vintaj dijadikan pilihan, sama ada dari kedai bundle atau almari ibu bapa sendiri.
Gaya Y2K memberi ruang individu untuk mengekspresi sisi yang lebih berani. — Instagram/@uzmamahrose
3. Y2K
Trend Y2K atau gaya awal tahun 2000-an kembali mendapat tempat dengan sentuhan moden. Gaya ini menampilkan elemen seperti seluar jeans pinggang rendah, tali pinggang berlapis, aksesori rambut berbentuk rama-rama serta kasut platform.
Ia bukan sahaja funky, tetapi juga memberi ruang untuk mengekspresi sisi yang lebih berani. Media sosial memainkan peranan besar dalam menghidupkan trend ini, termasuk acara keramaian yang mengangkat tema Y2K.
Athleisure menggabungkan pakaian sukan dengan elemen fesyen harian yang bergaya. — Instagram/@cupcake_aisyah
4. Athleisure
Gaya athleisure lahir daripada minat Gen Z terhadap kesihatan serta keperluan gaya hidup serba pantas. Ia menggabungkan pakaian sukan dengan elemen fesyen harian yang bergaya.
Legging, baju dalam sukan, sweatshirt besar dan sneakers menjadi pilihan utama mereka yang ingin kekal selesa tanpa mengorbankan penampilan.
Lebih daripada sekadar trend, athleisure mencerminkan falsafah hidup Gen Z yang mahu praktikal, versatil dan sentiasa ‘on-the-go’.
Padanan warna hitam dan putih memberi efek minimalisme pada penampilan. — Instagram/@dollydalilah
5. Minimalisme
Di sebalik kegilaan warna terang dan corak pelik, sebahagian Gen Z memilih pendekatan minimalis yang lebih tenang dan kemas.
Namun, minimalisme ala Gen Z jauh dari membosankan. Ia menampilkan potongan ringkas, warna neutral dan siluet bersih, tetapi tetap membawa unsur peribadi.
Blazer oversized, kemeja putih, seluar slack hitam dan aksesori ringkas menjadi pilihan mereka yang mahu tampil matang dan cantik tanpa perlu berlebihan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram