
SIAPA sangka, seorang wanita yang memulakan langkah kerjayanya bersama orang utan di sebuah zoo kini menjadi antara individu penting dalam usaha pemuliharaan biodiversity di ladang kelapa sawit.
Nur Aida Ab Ghani yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Konservasi dan Biodiversiti di SD Guthrie Berhad (dahulu dikenali sebagai Sime Darby Plantation Berhad) membuktikan bahawa minat mendalam dan kesungguhan boleh membuka jalan ke arah impak lebih besar.
Berbekalkan ijazah dalam Sains dan Teknologi Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004, beliau tidak menyangka minatnya terhadap haiwan dan biodiversiti akan membawa dirinya jauh daripada dunia industri makanan kepada dunia pemuliharaan hutan dan hidupan liar.
BACA LAGI: Bina legasi sejak kecil, 3 usahawan wanita Cik Siti Wan Kembang asas empayar perniagaan moden
Nur Aida ketika melawat projek tanaman berskala besar di Bintulu.
Dua tahun pertama selepas tamat pengajian beliau berkhidmat dalam industri makanan di Senawang, Negeri Sembilan.
Namun begitu, arah tuju kerjaya berubah selepas ibu kepada dua orang anak itu menyertai Zoo Taiping & Night Safari di Taiping, Perak sebagai fasilitator program konservasi orang utan.
“Antara tugas utama saya di zoo adalah mencipta aktiviti rangsangan untuk haiwan, khususnya orang utan.
"Kami mahu elakkan haiwan hanya duduk diam di dalam kurungan tanpa sebarang cabaran mental atau fizikal,” katanya ketika ditemui bual Majoriti baru-baru ini.
Selepas sedekad menyumbang dalam bidang konservasi, wanita berusia 43 tahun itu berpindah ke sektor perladangan.
Nur Aida memulakan kerjayanya di SD Guthrie sebagai Executive Standards and Compliance, bertugas sebagai juru audit pensijilan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) serta International Organization for Standardization (ISO) dan Occupational Health and Safety Assessment Series (OHSAS).
Pada 2009, beliau mula terlibat dengan pensijilan RSPO.
“Saya mula buat juru audit untuk Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO). Bukan sahaja audit, tapi menyediakan manual dan dokumen untuk syarikat sebelum diberi pensijilan RSPO.”
Sejak 2013, tugasnya lebih fokus kepada pemeliharaan fauna dan flora melalui Penilaian Nilai Konservasi Tinggi (HCV).
“Tugas saya bukan sahaja menjanjikan pensijilan, tapi lebih kepada fauna and flora, saya buat HCV,” kata beliau.
Kini, beliau mengetuai projek penanaman pokok berskala besar membabitkan 95 hektar di Bintulu, Sarawak dan 100 hektar di Negeri Sembilan dengan menanam spesies terancam, jarang ditemui dan endemik.
“Hari ini, tugas saya lebih kepada penanaman pokok berskala besar. Kami tanam jenis pokok yang terancam dan rare. Kadang-kadang tanam spesies endemik mengikut lokasi," jelasnya.
Menurut beliau, projek tersebut mewujudkan ‘hutan kecil’ dalam estet yang menjadi habitat sementara mamalia kecil dan burung.
“Hutan kecil ini penting sebab mamalia kecil ataupun burung gunakan tempat itu sebagai tapak persinggah sebelum ke hutan besar," jelas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.
Nur Aida (kanan) ketika melawat tapak projek pemulihan bakau milik SD Guthrie di West New Britain, Papua New Guinea pada Jun tahun lalu.
Cabaran lebih kompleks melibatkan manusia
Mengulas mengenai cabaran terbesar dalam menjalankan projek pemuliharaan, Nur Aida menjelaskan bahawa dalam aspek penanaman pokok, cabarannya lebih kepada memastikan pokok yang ditanam dapat hidup dan berkembang dengan baik.
“Untuk tanam pokok senang, tapi pastikan ia hidup yang mencabar kerana sekarang cuaca tidak menentu dan kering, kita tak boleh ramal cuaca,” ujarnya.
Namun, apabila melibatkan pengurusan konflik berkaitan hidupan liar, cabarannya lebih kompleks kerana melibatkan interaksi manusia dengan manusia.
“Cabarannya lebih kepada manusia ke manusia sebab manusia kepentingan mereka berbeza, terutama apabila kami perlu berurusan dengan komuniti, orang kampung yang kurang dari segi kewangan, isu itu kerap ditolak sana sini,” tambah beliau.
Bagi Nur Aida (kiri), beliau percaya bahawa bekerja dalam sektor korporat membolehkannya memberi impak secara langsung terhadap kelestarian alam.
Pencapaian dibanggakan
Mengimbas perjalanan kerjaya, Nur Aida turut berkongsi beberapa kejayaan dan inisiatif paling membanggakan sepanjang berkhidmat dalam bidang konservasi biodiversiti.
Antaranya apabila berjaya menganalisis data konflik antara manusia dan gajah dalam organisasi.
“Data ini sangat penting untuk mempengaruhi proses membuat keputusan,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu turut menzahirkan rasa bangga apabila projek dan penemuan tersebut dapat dikongsi bersama pihak ladang dan pihak lain yang membawa kepada penemuan baharu.
“Walaupun penemuan itu biasa, apabila disokong dengan data dan kajian, ia memberi keyakinan yang lebih tinggi dalam membuat keputusan,” ujarnya.
Minat mendalam terhadap dunia hijau mendorong beliau kekal dalam industri terlibat selama lebih 17 tahun sejak 2008.
Peranan wanita
Mengulas mengenai peranan wanita dalam bidang konservasi, Nur Aida berkata, walaupun bilangan kaum Hawa semakin ramai, cabaran utama masih wujud peringkat pengurusan.
“Perempuan ramai dalam konservasi, cumanya menjadi cabaran ketika dalam proses mencari penyelesaian dalam masalah yang wanita kaji, ia melibatkan ramai lelaki berjawatan tinggi dan mempunyai pengaruh besar," katanya yang juga tidak menafikan isu stereotaip terhadap golongan wanita masih wujud.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi berdepan situasi tersebut.
“Semasa muda, apabila nak berurusan dengan orang ladang lebih berusia dan berjawatan tinggi, tanggapan pertama mereka bahwa saya muda dan wanita, jadi mungkin tak faham konteks. Tapi apabila saya teruskan, kumpul data dan tunjukkan hasil kerja dengan baik, akhirnya mereka beri kerjasama," ceritanya.
Justeru, beliau menasihatkan agar wanita muda tidak berputus asa walaupun menghadapi cabaran tersebut.
“Saya berharap cabaran itu tidak menjadi penghalang untuk mereka terus maju.
"Paling penting, sentiasalah merendah diri dan bersifat terbuka dalam menimba ilmu," tegasnya.
Walaupun pernah berasa ingin berhenti, beliau menegaskan masa dan kesabaran adalah kunci kejayaan.
“Jika terasa mahu berhenti, kumpulkan semula kekuatan dan fikirkan apa yang benar-benar ingin dilakukan. Masa akan menyembuhkan segala-galanya. Teruskan bekerja dan sentiasa cuba belajar daripada semua orang," nasihatnya.
Mengenai harapannya terhadap masa depan biodiversiti di Malaysia, khususnya dalam sektor korporat, beliau meletakkan harapan tinggi berikutan sektor terbabit memiliki tanah yang besar dan berkuasa membuat keputusan penting.
“Apa sahaja keputusan dibuat oleh pemilik tanah akan memberi impak besar. Jika mereka membuat keputusan tepat ia merupakan pencapaian besar,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram