Polis sahkan mayat lelaki UK hilang ditemukan dekat kawasan pembinaan di Bangsar


  • Kes
  • Khamis, 05 Jun 2025

Jordan menginap di sebuah kawasan kediaman sekitar Kuala Lumpur sejak tiba pada 17 Mei lalu.

POLIS mengesahkan mayat yang ditemui di tapak pembinaan di Bangsar, Kuala Lumpur merupakan warga United Kingdom Jordan Michael John Johnson-Doyle yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan Khamis. 

BACA LAGI: Pemandu hilang kawalan, 21 maut, 15 lagi parah bas jatuh gaung di Sri Lanka

BACA LAGI: Tak pulang rumah sejak Khamis, 4 hilang lepas masuk hutan di Lahad Datu

"Mayat itu dikenal pasti secara visual oleh bapa saudara si mati yang telah mengesahkan identiti melalui tatu di badannya. Ini mengesahkan mayat lelaki yang dilaporkan hilang pada 2 Jun lalu. 

"Hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas si mati mendapati sebab kematian adalah 'chest injury due to fall from height' (kecederaan dada disebabkan jatuh dari tempat tinggi). 

"Tiada unsur kesat (jenayah) ditemui di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut," katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Dalam pada itu, Rusdi juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu.

Pada Rabu pukul 5 petang, polis menemui seorang mayat sudah ditemui di sebuah tapak pembinaan di Bangsar dengan ia disiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan lelaki warga United Kingdom (UK) yang dilaporkan hilang.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, mereka menerima panggilan kecemasan untuk membantu mengeluarkan mayat itu sekitar pukul 5 petang.

Lokasi terakhir Jordan difahamkan merupakan sebuah bar di sekitar Bangsar.

Mayat tersebut ditemui di dalam sebuah lubang lif yang dipenuhi air di bangunan yang sedang dibina di Bangsar Hill Park, Lorong Maarof.

Terdahulu, Jordan yang berusia 25 tahun dilaporkan hilang di Kuala Lumpur sejak Selasa lalu selepas keluarganya cuba menghubunginya.

Perkara itu dilaporkan media antarabangsa, UK Daily Mail yang menyatakan dia kali terakhir dikesan di Healy Mac's Irish Bar di Bangsar berdasarkan sekeping foto dikirim kepada sahabatnya, Owen.

Jordan yang merupakan jurutera perisian difahamkan sedang bercuti secara bersendirian di negara Mediterranean dan Asia Tenggara sejak bekerja secara atas talian untuk kira-kira setahun setengah.

Dia tiba di Malaysia pada 17 Mei lalu dan dipercayai menginap di Robertson Residences Bukit Bintang di ibu kota.

Ibu kepada Jordan, Leanne Burnett sebelum ini meluahkan kebimbangannya dan cuba menghubungi anaknya termasuk menerusi media sosial.

Bagaimanapun, telefon bimbitnya difahamkan gagal dihubungi di pusat bandar sejak Jumaat lalu.

Malah, berdasarkan aplikasi 'Find my iPhone', peranti tersebut kali terakhir dikesan berada sekitar flat perumahan berhampiran bar tersebut.

Leanne yang berusia 44 tahun difahamkan sering mengikuti perkembangan dan keberadaan anaknya menggunakan aplikasi menjejak tersebut, termasuk pada waktu bangun dan sebelum tidur.

Kali terakhir Jordan dan Leanne berhubung adalah pada 26 Mei lalu dengan anaknya dilaporkan berada dalam keadaan normal.

Keluarga mangsa sudah menghubungi pihak kedutaan British dan polis Malaysia untuk bantuan lanjut. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram