Gemar tonton filem, drama sama berulang kali, anda mungkin antara golongan miliki 5 ciri unik ini


  • Sihat
  • Khamis, 05 Jun 2025

Tontonan berulang kali mampu membantu hidup seseorang lebih terkawal walaupun hakikatnya penuh kekalutan. — ​​​​​​​Gambar hiasan/Freepik

ADAKAH anda seorang yang gemar menonton filem atau siri televisyen sama berulang kali, walaupun banyak rancangan baharu menanti?

Tahukah anda? Tabiat tersebut rupa-rupanya bukan sekadar soal keselesaan, ia sebenarnya mencerminkan cara kita berfikir, mengurus emosi dan menghadapi tekanan hidup.

Berikut lima ciri unik biasa dimiliki individu yang suka ulang tonton rancangan sama, menurut psikologi:

BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi

BACA LAGI: 'Tidur cukup, makan okey tetapi tak bermaya', ramai wanita di Malaysia rupanya kurang terdedah cahaya matahari

Otak kita sebenarnya sedang berehat jika menonton sesuatu berulang kali.  — Gambar hiasan/Freepik

1. gunakan pengulangan sebagai ‘pengawal emosi’

Tonton sesuatu yang kita sudah hafal jalan ceritanya memberi rasa selamat secara emosi.

Ia kerana tidak perlu risau babak mengejutkan, tiada penggunaan banyak tenaga untuk memahami plot. Dalam eri kata mudah, otak kita boleh berehat.

Selepas seharian penat, ramai yang lebih rela tonton cerita yang mereka sudah biasa demi mengawal emosi penat.

2. Seorang yang nostalgik secara sihat

Kajian dari Universiti Augsburg, Jerman menunjukkan bahawa individu yang suka ulang tonton cenderung bersifat nostalgik. Pun begitu, ia bukan perkara negatif.

Nostalgia membantu kita rasa lebih ‘berpijak di bumi nyata’ apabila hidup terasa beban.

Ia menghubungkan kita dengan perkara yang menenangkan jiwa.

Sama ada cerita zaman belajar dulu atau filem yang ingatkan anda pada waktu lebih mudah, ia seperti ‘ritual’ kecil untuk menenangkan hati.

Young Asian woman using smartphone checking social media feeling happy smiling while lying on the sofa when relax in living room at home. Lifestyle latin and hispanic ethnicity women at house concept.

Menonton filem lama bertindak sebagai 'ritual' kecil untuk menenangkan hati. — Gambar hiasan/Freepik

3. Suka rutin dan kepastian

Hidup ini penuh ketidaktentuan. Apabila dunia sekeliling rasa tidak terkawal, kita cenderung untuk mencari sesuatu yang boleh dijangka.

Ulang tonton cerita yang sama beri satu bentuk struktur bahawa kita tahu permulaan, pengakhiran dan jalan ceritanya tanpa ada kejutan.

Kajian dari SAGE Journals mendapati, tontonan berulang kali mampu membantu hidup seseorang lebih terkawal walaupun hakikatnya penuh kekalutan.

4. Suka berfikir secara mendalam

Orang yang suka ulang tonton biasanya bukan setakat mahu hiburan, mereka suka menganalisis watak, jalan cerita dan emosi.

Ini sepadan dengan ciri yang dipanggil meaning-making yang mana merupakan satu keupayaan untuk memberi makna mendalam kepada sesuatu yang dikaitkan dengan ketahanan emosi dan kematangan diri.

Jadi, kalau anda ulang tonton filem Titatnic (1999), mungkin itu bukan kerana anda tidak tahu mengisi masa lapang, tetapi kerana anda sedang ‘merenung diri’ dengan cara yang tenang.

5. Mungkin sedang penat atau 'burnout'

Kadangkala, ulang tonton bukan dipengaruhi oleh nostalgia atau minat, tetapi disebabkan keletihan.

Apabila otak sudah penat, kita malas membuat keputusan baharu termasuk keputusan kecil seperti mahu tonton apa.

Cerita lama yang dikenali rasa lebih ‘mudah dihadam’. Ia tidak memerlukan tenaga emosi dan tidak perlu fokus yang tinggi.

Menurut Institut Kesihatan Mental Nasional (NIMH), ini dikenali sebagai decision fatigue dan ia biasa berlaku apabila seseorang alami stres berpanjangan.

Jadi kalau anda pasang sitcom lama berulang kali, itu mungkin cara otak anda aktifkan ‘mod jimat tenaga’ dan itu tidaklah salah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram