
SAAT ramai menganggap generasi muda semakin terpengaruh dengan populariti media sosial, satu tinjauan terbaru di Jepun membuktikan sebaliknya iaitu lebih ramai kanak-kanak bercita-cita menjadi pekerja kedai kek dan roti berbanding menjadi selebriti, model mahupun YouTuber.
Kajian itu dijalankan oleh Kumpulan Kuraray melibatkan 4,000 kanak-kanak yang bakal mendaftar ke sekolah rendah pada 2025.
Hasilnya cukup menarik iaitu cita-cita paling popular dalam kalangan kanak-kanak Jepun adalah menjadi pekerja kedai kek atau roti, dengan 11.7 peratus responden memilih pekerjaan itu sebagai impian mereka.
Bagi kanak-kanak lelaki, kerjaya beruniform seperti anggota polis terus menjadi pilihan utama dengan 16.1 peratus memilih profesion itu dengan kedudukan teratas buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun.
Bidang sukan turut mendapat tempat di hati mereka terutamanya bola sepak dan besbol, yang digabungkan mencatat 15.4 peratus tanda minat.
Malah, minat terhadap sukan besbol kini mencatat tahap tertinggi dalam tempoh 15 tahun.
Cita-cita kanak-kanak perempuan menunjukkan corak yang lebih konsisten sejak hampir tiga dekad. — Gambar hiasan
Menariknya, kerjaya sebagai YouTuber juga tersenarai dalam lima teratas, dipilih oleh 4.8 peratus kanak-kanak lelaki yang mencerminkan pengaruh media digital, namun tidak mengatasi minat terhadap profesion tradisional.
Sementara itu, cita-cita kanak-kanak perempuan menunjukkan corak yang lebih konsisten sejak hampir tiga dekad.
Untuk tahun ke-27 berturut-turut, menjadi pekerja kedai kek dan roti kekal sebagai pilihan utama, walaupun peratusannya menurun kepada 20.2 peratus iaitu angka terendah yang pernah direkodkan.
Pilihan kerjaya artistik seperti penyanyi, pengacara TV dan model berada di tempat kedua dengan 9.7 peratus, manakala kerjaya sebagai pengasuh taska pula berada di tempat ketiga (6.4 peratus). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram