
KAYU balak terbakar perlahan dalam perapian, memberi kehangatan kepada ruang tamu yang diterangi cahaya lembut.
Kerusi empuk kelihatan sangat selesa, manakala gelas dan sebotol wain sudah tersedia.
Di sudut bilik, jam antik berdetik perlahan, menambahkan suasana tenang.
BACA LAGI: Anak hilang minat bersosial akibat ketagih gajet, pengurangan ‘screen time’ pulihkan semula hubungan
Semuanya tampak seperti helaian majalah dekorasi mewah tetapi setiap barang yang begitu terperinci itu sebenarnya cukup kecil untuk muat di tapak tangan.
"Saya memang suka rumah gaya Victoria dan sentiasa teringin nak tinggal dalam satu, tapi tak pernah jadi kenyataan,” kata Michele Simmons sambil ketawa kecil, memerhati miniatur hasil ciptaan pakar sejarah Mulvany & Rogers.
Simmons, seorang perekrut korporat berusia 57 tahun dari Boston, Amerika Syarikat, menghidupkan semula minat zaman kecilnya terhadap rumah anak patung semasa pandemik.
Sejak itu, beliau telah menghias hampir 10 buah rumah miniatur dengan membeli, membaiki dan menjualnya semula.
Minatnya begitu mendalam hingga dia dan anak perempuannya sanggup terbang seharian ke London hanya untuk mencari langsir kecil serta buaian mini di festival rumah anak patung terkemuka, Kensington Dollshouse Festival.
"Saya betul-betul seronok! Bila buat benda ini, saya tak fikir apa-apa yang lain," katanya, sambil mengakui sering terlalu asyik sehingga perlu dipaksa keluar dari bengkel kerjanya untuk memberi makan kepada anak-anak.
Dunia miniatur mewah
Sejak 1985, festival tahunan itu mengumpulkan para kraf tangan miniatur terbaik dunia dan meraikan satu hobi yang kini kembali mendapat tempat di hati ramai terutamanya selepas pandemik mencetuskan ledakan komuniti atas talian.
Segalanya tersedia dalam bentuk kecil daripada candelier, lukisan, meja makan mahogani hingga ke peralatan dapur.
Walaupun rumah anak patung sering dikaitkan dengan permainan kanak-kanak, koleksi miniatur kelas tinggi ini sebenarnya lebih sinonim dengan orang dewasa.
"Ia tentang hasil kerja tangan yang halus dan sangat menakjubkan," kata Rachel Collings, seorang editor berusia 47 tahun yang menggelar dirinya sebagai 'obses kecil-kecil'.
Beliau baharu sahaja membeli beberapa alat permainan daripada pembuat miniatur terkenal, Laurence & Angela St. Leger.
Setiap satu pembelian yang minimum pun berharga £40 (RM228) cukup kecil untuk dimasukkan ke dalam bekas plastik.
"Saya ada separuh hirisan lemon. Bayangkan saiznya, ada juga pemerah lemon, berus pastri dan pemukul tangan yang betul-betul berfungsi.
"Ini semua macam menghidupkan semula zaman kanak-kanak dalam diri. Tapi ia juga sangat cantik," katanya sambil tersenyum.
Setiap tahun sejak 1985, Dewan Bandaraya Kensington menjadi tumpuan para peminat dan pengumpul rumah anak patung serta barangan miniatur. — Agensi
Lebih sekadar hobi
Sejarah rumah anak patung bermula di Eropah sekitar 1500-an, yang mana ‘baby house’ digunakan untuk mempamerkan kekayaan dalam bentuk miniatur.
Sama seperti festival di London, ia pada awalnya adalah koleksi eksklusif orang dewasa.
Susan Evans, bekas bidan berusia 67 tahun dari Colwyn Bay, Wales, malah mengaku beliau bukan sahaja ada sebuah rumah tetapi satu perkampungan mini.
"Saya ada 18 buah kedai Victoria, sebuah sekolah, rumah agam, pub dan kini sebuah gereja," katanya.
Kos pembinaan gereja miniatur itu sahaja lebih £4,000 (RM22,864).
Apa yang mula-mula sekadar terapi untuk meredakan tekanan kini menjadi sumber pendapatan.
Susan mengumpul ribuan paun hasil lawatan berkumpulan ke rumahnya untuk melihat koleksi itu.
"Ia adalah minat saya. Ia pelarian dan juga menghidupkan imaginasi yang saya rasa sangat baik untuk kesihatan mental," tambahnya.
Candelier mini, ada yang berminat? — Agensi
Dunia kecil, kuasa besar
Menurut Charlotte Stokoe, penganjur festival Kensington Dollshouse, minat terhadap dunia miniatur semakin meningkat sejak pandemik.
"Apabila dunia luar penuh tekanan dan kekacauan, hobi ini menjadi ruang yang menenangkan. Kita yang kawal segalanya," katanya.
Tambahnya, ketika kos sara hidup makin meningkat, ramai sedar mereka boleh menjadi pereka dalaman dalam skala kecil sesuatu yang lebih mudah dicapai berbanding menghiasi rumah sebenar.
Ahli antropologi perubatan dari University College London (UCL), Dalia Iskander yang kini menulis buku Miniature Antidotes, mendapati hobi itu berupaya membantu ramai individu meneroka kenangan, emosi dan imaginasi mereka.
"Isu seperti kemurungan atau kebimbangan pun boleh diteroka melalui dunia miniatur dengan cara yang sangat positif," katanya.
Rachel Collings turut berkongsi bahawa hobi itu turut menarik minat anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
"Apabila segalanya terasa sukar, saya akan duduk dan tenung sahaja semua benda kecil ini dan saya rasa bahagia," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram