
BAYANGKAN anda berjalan dalam kolam air sebenar sambil ikan koi digital berenang di sekeliling kaki atau melihat bunga-bunga tumbuh hanya dengan satu sentuhan jari.
Inilah dunia seni interaktif teamLab yang kini jadi kegilaan ramai di seluruh dunia.
Sebuah kolektif seni dari Jepun yang terdiri daripada jurutera, ahli matematik dan artis, teamLab mula mendapat perhatian sejak 2001.
BACA LAGI: Fahami 'bahasa' kutleri, ini maksud tersirat perletakan sudu, garpu di meja makan
Misi mereka? Menggabungkan seni, sains, teknologi dan alam semula jadi dalam satu pengalaman visual yang memukau serta menyentuh emosi.
Muzium teamLab Planets di Tokyo sahaja berjaya menarik 2.5 juta pengunjung tahun lalu, sekali gus memecah rekod Guinness sebagai muzium paling ramai dikunjungi untuk satu kumpulan seni.
Kini, teamLab mempunyai 12 pameran aktif di Jepun dan turut bertapak di lokasi antarabangsa seperti Singapura, Abu Dhabi, Macao, Miami, New York serta Jeddah.
Tidak cukup dengan itu, pameran baharu juga sedang dirancang di Hamburg, Utrecht dan Kyoto.
Pelawat di teamLab Borderless di Muzium Seni Digital Mori Building, Tokyo.
Apa yang membuatkan teamLab begitu istimewa?
Berbeza dengan galeri seni biasa, pameran mereka umpama taman permainan deria yang mana anda boleh melompat atas trampolin, meredah taman digital, atau menikmati cahaya kristal tanpa batas.
Di lokasi tertentu seperti Izura, Jepun, karya mereka dipamerkan secara terbuka di sawah padi dan pantai, mencipta suasana magis waktu malam dengan lampu serta muzik.
Beberapa instalasi turut membolehkan pengunjung melukis makhluk dengan krayon yang kemudiannya akan ‘hidup’ dalam bentuk unjuran animasi.
Ada juga pengalaman yang mana cahaya dan bunyi bertindak balas kepada sentuhan atau pergerakan anda menjadikan setiap lawatan sesuatu unik serta peribadi.
Dalam instalasi ‘Sketch’ di beberapa lokasi, anda menggunakan krayon untuk mewarnakan makhluk, yang kemudiannya ‘hidup’ sebagai unjuran di dinding dan lantai.
Lokasi wajib lawat teamLab
Tokyo (Jepun)
Di teamLab Planets (¥3,800-¥5,400/RM112-RM159), pengunjung perlu buka kasut dan bersedia untuk basah.
Anda akan masuk ke bilik-bilik bertema air, cermin dan taman digital.
Terkini, instalasi ‘Catching And Collecting Extinct Forest’ membolehkan anda menangkap haiwan digital terancam dan belajar mengenainya melalui aplikasi.
Sementara itu, teamLab Borderless (¥3,600-¥5,600/RM106-RM165) menawarkan ruang pameran tanpa arah tetap yang mana anda bebas meneroka sambil mengikuti arus seni digital bersambung antara satu bilik ke bilik lain.
Pelawat di teamLab Borderless di Muzium Seni Digital Mori Building, Tokyo.
Singapura
Di Lapangan Terbang Changi, Resonating Forest menyinari pokok-pokok dengan cahaya bernafas, berubah mengikut laluan pelawat.
Di Marina Bay Sands pula, Digital Light Canvas memancarkan unjuran digital berbentuk air terjun dan makhluk lukisan anda di lantai kaca.
Abu Dhabi (UAE)
Di muzium teamLab Phenomena (150 dirham/RM174), setiap ruang dipenuhi fenomena semula jadi digital interaktif dari pusaran air hinggalah telur logam terapung yang memberi reaksi kepada sentuhan.
New York (AS)
Di lobi bangunan pencakar langit 1 Vanderbilt, anda boleh melihat taman digital bersaiz besar yang berubah mengikut musim sebenar dan waktu matahari terbit atau terbenam.
Miami (AS)
Instalasi ‘Between Life And Non-Life’ di Superblue Miami (US$32/RM136) membolehkan pelawat menyentuh dinding dan melihat tumbuhan digital tumbuh serta layu semula dalam satu kitaran kehidupan.
Taman permainan deria psikedelik kumpulan teamLab memukau berjuta-juta pengunjung setiap tahun.
Izura, Jepun
‘Hidden Traces Of Rice Terraces’ (¥2,400/RM71) menampilkan pengalaman seni malam yang menggunakan cahaya dan air untuk menonjolkan keindahan sawah padi lama tanpa merosakkan alam sekeliling.
Dengan teknologi canggih, nilai seni mendalam dan daya tarikan visual luar biasa, pameran teamLab bukan sekadar ruang bergambar Instagram, tapi satu pengalaman menyeluruh yang menyentuh soal kehidupan, alam serta diri kita sendiri. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram