Langkah pertama ke pentas antarabangsa, Lilanz dedah kenapa pilih Malaysia sebagai butik antarabangsa pertama luar China


  • Gaya
  • Selasa, 03 Jun 2025

Lilanz kini bukan lagi hanya nama besar di China ia mula menapak sebagai ikon fesyen global dan Malaysia menjadi titik mula kepada transformasi itu.

DISELIMUTI kedinginan udara tanah tinggi Genting Highlands, satu jenama fesyen lelaki dari China memecah hening suasana dengan membuat pertunjukan.

Buat julung kalinya, Lilanz, nama yang sinonim dengan fesyen lelaki minimalis di China, memilih Malaysia sebagai lokasi pelancaran butik global pertamanya.

BACA LAGI: Fahami 'bahasa' kutleri, ini maksud tersirat perletakan sudu, garpu di meja makan

BACA LAGI: Pakar reka bentuk kongsi kesilapan hias paling 'klise' dilakukan di ruang rumah

Langkah berani itu disempurnakan menerusi pembukaan butik eksklusif di SkyAvenue, Resorts World Genting, menandakan permulaan era baharu buat jenama tersebut dalam menawan pasaran antarabangsa.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Naib Presiden Lilanz (China) Co.,Wang Jun Hong, keputusan membuka cawangan pertama di luar negara ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, tetapi hasil perancangan strategik dan penyelidikan pasaran selama beberapa tahun.

Tambah Wang, mengembangkan jenama ke pasaran global adalah langkah semula jadi seiring pertumbuhan syarikat.

Malaysia dilihat sebagai destinasi ideal kerana kemajmukan budaya, kestabilan ekonomi dan pasaran pengguna yang berdaya beli tinggi.

"Kami melihat Malaysia sebagai negara yang meriah dan inklusif. Ia menjadi lokasi yang sangat menjanjikan untuk pelancaran global pertama kami," jelasnya kepada Majoriti.

Wang (tengah) melihat Malaysia sebagai destinasi ideal kerana kemajmukan budaya, kestabilan ekonomi dan pasaran pengguna yang berdaya beli tinggi.

Sejak era 1990-an, Lilanz telah mengubah wajah fesyen ‘business casual’ di China dengan pendekatan rekaan minimalis, elegan dan berjiwa santai.

Fokus mereka adalah untuk mencipta pakaian lelaki yang praktikal namun bergaya, sesuai untuk pelbagai suasana dari mesyuarat pejabat ke hujung minggu santai.

"Kami bukan sekadar menjual pakaian, kami membawa gaya hidup. Fesyen lelaki tidak perlu rumit. Lelaki moden mahukan sesuatu yang senang dipadankan, selesa dipakai dan tetap nampak bergaya dan di situlah Lilanz menyerlah," ujarnya.

Sejak era 1990-an, Lilanz telah mengubah wajah fesyen ‘business casual’ di China dengan pendekatan rekaan minimalis, elegan dan berjiwa santai.

Ditubuhkan pada 1987, Lilanz bermula sebagai bengkel kecil dan kini menjadi jenama yang menyatukan reka bentuk, penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran.

Mereka mencipta sejarah apabila menjadi jenama pakaian lelaki China pertama yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada 2009.

Antara pencapaian penting lain termasuk pelancaran sub-jenama 'Less is More' pada 2016 dan jenama sukan luar Munsingwear pada 2024.

"Label 'Less is More' adalah respons kami terhadap keinginan generasi muda yang mahukan kesederhanaan dengan identiti tersendiri.

"Manakala Munsingwear membantu kami menembusi segmen gaya hidup aktif yang semakin berkembang, terutamanya dalam kalangan lelaki urban yang suka aktiviti luar," katanya.

Lilanz memilih Genting Highland kerana lokasi itu adalah destinasi gaya hidup yang dinamik.

Kenapa Genting Highlands?

SkyAvenue, pusat beli-belah berprestij dengan pelbagai jenama mewah dan aliran pelancong tinggi, dipilih sebagai lokasi utama kerana mampu memberi pendedahan jenama kepada pasaran tempatan dan antarabangsa secara serentak.

"SkyAvenue adalah destinasi gaya hidup yang ikonik.

"Kami mahu Lilanz dikenali bukan sahaja oleh rakyat tempatan tetapi juga pelancong dari seluruh dunia yang datang ke sini," ujarnya.

Lilanz menyasarkan golongan profesional, pekerja kolar putih dan pencinta fesyen lelaki moden.

Namun, Wang menegaskan bahawa semua pelanggan dialu-alukan asalkan mereka terbuka untuk menerokai gaya dan kualiti yang ditawarkan.

"Kami menyasarkan lelaki moden yang tahu apa yang mereka mahu pakai dan kenal nilai kualiti.

"Tetapi sesiapa pun yang ingin mencuba gaya Lilanz kami mengalu-alukan mereka," jelasnya

Jenama itu juga merancang untuk mengembangkannya ke kawasan Lembah Klang lain sebelum menembusi pasaran lain di Malaysia dan Asia Tenggara.

"Malaysia adalah permulaan. Kami sangat optimis dengan potensi rantau ini," tambah Wang.

Lilanz berharap untuk menjadi jenama yang dikenali dan dihargai oleh rakyat Malaysia dalam masa lima tahun akan datang.

Koleksi utama yang ditawarkan adalah konsisten dengan pasaran China, namun penyesuaian telah dilakukan untuk menepati iklim tropika dan citarasa pengguna tempatan.

"Kami telah menyesuaikan bahan dan potongan agar lebih sesuai dengan cuaca panas dan gaya hidup kasual di sini.

"Matlamat kami ialah kekalkan identiti jenama sambil menghormati keunikan budaya dan keperluan tempatan," jelasnya.

Cabaran dan harapan

Membawa jenama luar ke pasaran baharu pastinya disertai cabaran.

Antaranya, membina kesedaran jenama dan menyesuaikan diri dengan budaya setempat.

"Mendekati pengguna Malaysia memerlukan sensitiviti dan pendekatan yang tulus.

"Kami tidak mahu memaksa jenama kami ke pasaran, sebaliknya membina hubungan yang autentik dengan pengguna," ujar Wang.

Lilanz berharap untuk menjadi jenama yang dikenali dan dihargai oleh rakyat Malaysia dalam masa lima tahun akan datang.

"Kami tidak mengejar kejayaan segera. Kami mahu membina kepercayaan jangka panjang,” tambah beliau lagi.

Untuk lelaki yang mencari sesuatu praktikal, moden dan penuh gaya tanpa keterlaluan, butik Lilanz di SkyAvenue menanti kunjungan anda.

"Kami jemput anda datang dan alami sendiri pengalaman membeli-belah di butik Lilanz.

"Ia bukan sekadar butik, ia adalah ruang gaya yang meraikan lelaki moden dengan cara tersendiri," ujar Wang.

Lilanz kini bukan lagi hanya nama besar di China ia mula menapak sebagai ikon fesyen global dan Malaysia menjadi titik mula kepada transformasi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram