Fahami 'bahasa' kutleri, ini maksud tersirat perletakan sudu, garpu di meja makan


  • Hias
  • Selasa, 03 Jun 2025

Susunan sudu dan garpu bukan sekadar gaya, ia menyampaikan mesej tersirat kepada pelayan. — Gambar Hiasan

PERNAH tak anda tertanya-tanya bagaimana cara yang betul untuk meletakkan sudu dan garpu di atas meja atau pinggan selepas makan?

Perlukah ia disilangkan, diletakkan di tepi pinggan atau dibiarkan menghadap ke atas?

Rupa-rupanya, cara kita meletakkan peralatan makan ini boleh memberi mesej tertentu kepada pelayan atau tukang masak, tanpa perlu berkata apa-apa.

BACA LAGI: Pakar reka bentuk kongsi kesilapan hias paling 'klise' dilakukan di ruang rumah

BACA LAGI: Landskap 'indoor' terapi hijau, menyatukan alam dengan seni bina dalaman rumah

Gaya letak sudu dan garpu bukan sekadar soal etika semata-mata, tapi ia juga menjadi bahasa tubuh yang digunakan di restoran mewah untuk menyampaikan pendapat kita tentang makanan atau layanan.

Berikut ialah beberapa maksud tersirat di sebalik cara susun sudu dan garpu yang patut diketahui oleh semua penggemar 'fine dining'.

"Saya sedia untuk makan"

Meletakkan sudu dan garpu secara terbuka (tidak bersilang atau selari), menunjukkan bahawa anda sudah bersedia untuk mula menjamah hidangan.

"Saya belum habis makan"

Jika anda berhenti makan seketika kerana sedang berbual atau mengambil nafas, letakkan sudu dan garpu membentuk sudut seperti segitiga (biasanya garpu di kiri, sudu atau pisau di kanan).

Ini menunjukkan bahawa anda belum selesai dan tidak mahu pinggan anda diangkat.

"Saya sedia untuk hidangan seterusnya"

Meletakkan sudu dan garpu membentuk simbol tambah (+) menunjukkan anda sudah bersedia untuk menerima hidangan berikutnya.

"Saya tidak menyukai makanan ini"

Kalau anda tidak berpuas hati dengan rasa makanan, susunkan sudu dan garpu secara bersilang (X) di atas pinggan.

Ia adalah cara halus untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hidangan.

Gaya letak sudu dan garpu bukan sekadar soal etika semata-mata, tapi ia juga menjadi bahasa tubuh yang digunakan di restoran mewah. 

"Makanan ini sangat sedap"

Letakkan sudu dan garpu secara selari menyerong ke arah kanan bawah pinggan, seolah-olah jam menunjukkan pukul 4:20.

Ini isyarat bahawa anda amat menghargai keenakan makanan yang dihidangkan.

"Saya pasti akan datang lagi"

Kalau anda ingin memberi petanda bahawa anda akan kembali ke restoran itu, letakkan garpu terbalik (menghadap ke bawah) di atas pinggan.

Ia lambang penghargaan dan memberitahu akan datang lagi.

"Saya tidak suka layanan di sini"

Jika anda memasukkan pisau ke celah garpu, ia menunjukkan anda tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan.

"Saya sudah selesai makan"

Letakkan sudu dan garpu secara selari ke arah bawah kanan pinggan (kedudukan pukul 4:00), menandakan anda telah menghabiskan makanan dan pinggan boleh diangkat.

Meskipun budaya makan di Malaysia mungkin tidak begitu mengutamakan isyarat halus seperti itu, memahaminya tetap berguna.

Terutamanya jika anda makan di restoran bertaraf antarabangsa atau semasa menghadiri majlis rasmi.

Sekali-sekala, biarlah 'cutlery' pula bercakap bagi pihak anda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram