Pakar reka bentuk kongsi kesilapan hias paling 'klise' dilakukan di ruang rumah


  • Hias
  • Isnin, 02 Jun 2025

Memilih saiz perabot dan permaidani yang sesuai mampu mengubah sepenuhnya suasana ruang tamu anda. — Agensi

MENGHIAS sesuatu ruang bukanlah tugas mudah.

Selain memilih perabot dan hiasan yang sesuai dengan gaya serta bajet, ramai juga cuba elak daripada melakukan kesilapan reka bentuk biasa seperti menggantung seni terlalu tinggi, pencahayaan tidak sesuai atau terlalu terikut dengan trend.

Namun, menurut pakar reka bentuk, ada satu kesilapan besar yang sering diabaikan: aspek skala.

BACA LAGI: Pintu louvre kayu pilihan moden, bergaya untuk rumah di Malaysia

BACA LAGI: Wanita berterima kasih pada rakyat Malaysia, sudi bantu ketika berdepan detik cemas kereta terbakar

"Skala adalah elemen reka bentuk sering kali orang buat silap, tetapi apabila ia dilakukan dengan betul, seluruh ruang akan 'berfungsi' dengan sempurna," kata pereka Linda Hayslett daripada LH.Designs.

"Ramai menyangka ruang kecil memerlukan perabot kecil, walhal itu bukan pendekatan yang tepat,” jelas Delia Kenza Brennen daripada Delia Kenza Interiors.

"Skala yang salah adalah petunjuk paling jelas bahawa sesuatu ruang itu direka dengan kurang baik," tambahnya.

Masalah skala biasanya timbul apabila seseorang mengabaikan keseimbangan saiz dan konteks ruang.

"Konteks adalah kunci. Apa cerita yang anda mahu sampaikan dalam ruang ini?

"Kesan apa yang ingin anda tinggalkan?" soal pereka Justin Williams dari Trademark Design Co.

Elakkan memilih perabot yang terlalu besar.

Perabot

Elakkan memilih perabot terlalu besar atau kecil untuk sesuatu ruang kerana ia boleh merosakkan kesan visual keseluruhan.

"Kadangkala sofa kelihatan seperti ‘menelan’ ruang atau kerusi hiasan kelihatan seperti mainan,” kata Hayslett.

Trik mudah? Pinjam kerusi atau meja dari bilik lain dan lihat bagaimana saiznya sesuai sebelum membeli.

Beliau juga menyarankan agar dua perabot kecil dikeluarkan dan diganti dengan satu perabot besar yang mampu menjadi titik fokus.

"Ia beri ruang bernafas dan keseimbangan," tambahnya.

Letakkan seni kecil di ruang yang lebih kecil seperti laluan atau sudut bacaan.

Seni dinding

Ramai gemar menggantung seni yang kecil pada dinding besar.

"Apabila seni terlalu kecil untuk dinding, ia nampak tenggelam dan hilang impak," jelas Williams.

Sebaiknya, letakkan seni kecil di ruang yang lebih kecil seperti laluan atau sudut bacaan.

Satu lagi trik yang sering digunakan: seni berskala besar dalam bilik air tetamu.

"Walaupun nampak seperti melanggar ‘peraturan’, ia beri impak besar dalam ruang kecil," kata Williams.

Untuk tentukan saiz seni dinding yang sesuai, Hayslett mencadangkan kaedah ‘kertas’.

"Guna kotak, kertas atau kadbod untuk bentuk dan saiz seni yang ingin digantung. Lihat bentuk sebenarnya sebelum komited," katanya.

Kaedah itu lebih jelas berbanding pita pelekat yang boleh mengelirukan.

Lukis pelan lantai asas dan potong bentuk perabot daripada kertas untuk uji susun atur berbeza.

Permaidani

Gail Davis dari Gail Davis Designs kecewa apabila permaidani terlalu kecil untuk ruang.

"Kadang-kadang meja kopi saja yang atas permaidani. Ia kelihatan seperti pulau terpencil. Orang terpaksa bangun untuk letak minuman," katanya.

Untuk bilik tidur, beliau lebih suka permaidani yang besar.

"Saya baru melawat rumah pelanggan di mana permaidani hanya cukup-cukup di bawah katil. Bila bangun tidur, saya nak kaki saya terus jejak pada permukaan yang empuk," tambahnya.

Jika masih keliru memilih saiz, Hayslett cadangkan guna pita pelekat untuk lukis jejak kasar perabot dan permaidani di lantai.

"Ia bantu anda bayangkan dengan lebih jelas," katanya.

Lukis pelan lantai asas dan potong bentuk perabot daripada kertas untuk uji susun atur berbeza.

"Cara itu mungkin low-tech tapi sangat berkesan,” tambahnya.

Pasang langsir hampir ke siling dan guna perabot tinggi untuk menarik perhatian ke atas.

Langsir

Bagi mencipta visual yang kemas dan elegan, Hayslett menekankan kepentingan skala menegak.

"Banyak isu skala berlaku dari segi ketinggian seperti langsir terlalu pendek atau rak buku rendah dalam bilik tinggi.

Solusinya, pasang langsir hampir ke siling dan guna perabot tinggi untuk menarik perhatian ke atas.

Ia serta-merta jadikan ruang tampak mewah dan seimbang," katanya.

Daripada pemilihan perabot yang sesuai dengan saiz ruang hingga pemasangan langsir yang betul, aspek skala mampu menjadikan sesebuah ruang harmoni atau sebaliknya.

"Penyusunan semula yang bijak bukan saja kembalikan keseimbangan, malah meningkatkan keharmonian visual dan fungsi ruang,” simpul Williams. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram