[VIDEO] Hairan ibu diserbu paparazi, soalan anak Eva Longoria cetus gelak tawa ramai


  • Bonda
  • Selasa, 03 Jun 2025

Gambar kanan merupakan momen yang tular di media sosial selepas soalan spontant anak Eva Longoria dianggap lucu.

BAGI individu bergelar anak kepada selebriti, sudah tentu mereka mengenali siapa wanita yang membesarkan mereka.

Tetapi ada antara mereka khususnya yang masih kecil tidak memahami mengapa ibu mereka sering menjadi perhatian orang sekeliling, lebih-lebih lagi apabila menghadiri majlis atau acara melibatkan ramai selebriti.

Baru-baru ini, anak kepada pelakon Amerika Syarikat (AS), Eva Longoria iaitu Santiago Enrique Baston, 6, mencetuskan gelak tawa orang ramai kerana hairan ramai jurugambar mengambil foto ibunya di majlis melibatkan sebuah jenama kopi tempatan di Cannes, Perancis.

BACA LAGI: Asalnya belajar bahasa isyarat demi adik OKU, Tan Lee Bee dikurnia Bintang Ahli Mangku Negara lepas 4 dekad mencurah bakti

BACA LAGI: [VIDEO] Trauma dikurung di bilik gelap, Miss Somalia perjuang hapus tradisi FGM

 

 

Dalam video tular di media sosial itu, bintang drama Desperate Housewives (2004) berusia 50 tahun itu dilihat berjalan di karpet bersama anaknya sebelum dirakam gambar oleh jurugambar terlibat serta hadirin.

Santiago dilihat hairan dengan suasana yang meriah di sekeliling ibunya.

"Kenapa semua orang kenal ibu (Eva)?" soalnya.

Gelagat spontan Santiago tidak terhenti di situ apabila beliau turut meminta hadirin untuk berhenti mengambil gambar ibunya.

“Semua orang kenal ibu saya, berhentilah ambil gambar dia," katanya.

Telatah kanak-kanak tersebut bukan sahaja mengundang tawa jurugambar dan tetamu lain, malah Eva turut terhibur.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya yang terhibur menyifatkan Eva sebagai 'Mom of the Year' berikutan tindakannya merahsiakan dunia glamor beliau daripada anaknya.

"Sebenarnya beliau layak dapat gelaran Mom of the Year kerana membiarkan anaknya tidak tahu mengenai popularitinya. Ia jelas menunjukkan beliau cuba untuk membesarkan Santiago tanpa melibatkan dunia selebriti," komen @DLMHBC.

"Eva boleh memberitahu anaknya bahawa beliau sangat dikenali, tetapi ia sangat mencerminkan cara Eva membesarkan anaknya yang tidak pernah mencampurkan kehidupan peribadi dan kerjayanya," ujar @LucaGuadagnegro.

Netizen juga menganggap tindakan Santiago sebagai cara beliau melindungi wanita kesayangannya itu.

"Saya suka cara beliau memerhatikan ibunya," kata @LloomisS.

"Beliau sanggup lakukan apa sahaja demi melindungi ibunya," ujar @ArchanelRoyal1.

Sekadar info, Eva Longoria dan suaminya, Jose Baston, 56, mula menjalin hubungan pada tahun 2013 dan berkahwin pada Mei 2016.

Santiago dilahirkan dua tahun kemudian dan sejak itu pasangan tersebut sering berkongsi momen keluarga mereka kepada umum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram