
"MANIS, teksturnya unik dan buat saya 'ketagih'." Begitulah pujian pengunjung wanita Jepun, Yoko Yoshinaga selepas menikmati roti canai sempena Expo 2025 Osaka di Jepun.
Yoko, yang pernah melawat Malaysia 30 tahun lepas berkata, rasa roti canai yang dicubanya kali ini terus menghidupkan semula kenangan manisnya terhadap Malaysia.
“Kali pertama saya nampak roti canai di laman X (dahulunya Twitter). Rasanya sangat berbeza dan sukar dilupakan.
"Kali ini saya datang ke ekspo hanya untuk merasainya sekali lagi. Saya sanggup beratur kali kedua semata-mata merasai semula menikmati roti canai Malaysia," katanya.
BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang
@muizruzaini Dahulu atau sekarang?
som asli -
Seorang lagi pengunjung Jepun, Hanako Sekimakai, yang pertama kali mencuba roti canai turut memberikan reaksi positif.
“Saya pernah ke Malaysia tetapi tak berpeluang rasa roti canai. Kari ayamnya tak terlalu pedas, sangat sesuai dengan selera saya.
"Persembahan budaya di pavilion juga mengingatkan saya pada pengalaman indah di Malaysia," katanya.
Kejayaan roti canai itu sebagai tarikan utama di Pavilion Malaysia bukan sahaja kerana rasanya, tetapi juga kerana persembahan unik yang digelar roti canai terbang.
Aksi Muhammad Muiz Ruzaini dari Kedah dan Mohamad Zul Imran Zulkifle dari Pulau Pinang melambung dan memutar doh ke udara sambil disertai bau mentega yang menyelerakan berjaya memikat ribuan pengunjung setiap hari.
Roti canai yang dihidangkan bersama kari ayam dan dhal dijual pada harga 1,680 yen (kira-kira RM50) setiap set.
Walaupun harganya premium, pengunjung tetap sanggup beratur sehingga dua jam untuk mencuba hidangan istimewa ini.
Menurut Muiz, beliau tidak pernah terpilih untuk menyertai delegasi negara di pentas dunia seperti Expo Osaka.
“Saya sangat bersyukur. Lebih menggembirakan, ramai pengunjung memberi maklum balas positif. Ada yang datang semula semata-mata untuk ucap 'oishī' (sedap), malah ada yang ulang tujuh kali!” katanya.
Aksi Muhammad Muiz Ruzaini melambung roti canai berjaya memikat ribuan pengunjung di Osaka, Jepun.
Roti canai itu mencatatkan jualan harian antara 1,000 hingga 1,600 keping sekali gus menunjukkan sambutan luar biasa terutamanya daripada pengunjung Jepun, Korea Selatan dan China.
Hidangan itu terkenal dengan teksturnya yang rangup di luar tetapi lembut di dalam, hasil teknik perapan dan penebaran yang teliti.
Zul Imran pula berharap populariti roti canai di ekspo itu boleh meletakkan sajian tradisional Malaysia di peta kulinari dunia.
“Saya berharap roti canai dari Pavilion Malaysia menjadi antara hidangan paling popular di Expo 2025. Semoga ini turut membantu menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia,” katanya.
Pavilion Malaysia yang dibina di atas kawasan seluas 2,654.52 meter persegi dan merangkumi tiga tingkatan membawa tema Weaving a Future in Harmony yang menunjukkan budaya, kemajuan ekonomi dan komitmen negara terhadap masa depan yang berkesan dan inklusif.
Expo 2025 Osaka yang berlangsung selama enam bulan bermula 13 April hingga 13 Oktober merupakan penganjuran kedua ekspo dunia di Osaka, Jepun selepas edisi pertama pada 1970. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram