Miss World 2025 milik Opal Suchata Chuangsri dari Thailand, perjuang kempen kesedaran kanser payudara


  • Sukses
  • Ahad, 01 Jun 2025

Opal juga aktif dengan usahanya menyebarkan kesedaran kesihatan, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan pengesanan awal kanser payudara. — Instagram/@suchaaata 

WANITA kelahiran Thailand, Opal Suchata Chuangsri dinobatkan Miss World 2025, menewaskan penyertaan daripada 108 negara dalam pertandingan ratu cantik berprestij itu.

Opal berasal dari Phuket, memenangi gelaran Miss World ke-72 itu pada majlis yang berlangsung di Pusat Pameran HITEX, Hyderabad, India, Sabtu.

BACA LAGI: Bina legasi sejak kecil, 3 usahawan wanita Cik Siti Wan Kembang asas empayar perniagaan moden

BACA LAGI: Teringin bayi lelaki atau perempuan? Kaedah 'shettles' bantu ibu bapa rancang jantina anak

Opal tampak elegan dalam persalinan busana dihiasi batu permata opal yang menjadi simbol keindahan, ketabahan dan kekuatan dalam perjalanan hidupnya. — Instagram/@suchaaata

Siapa Opal Suchata Chuangsri?

Opal merupakan pelajar jurusan hubungan antarabangsa dan aktif dalam dunia peragaan.

Dibesarkan di Phuket, beliau terkenal dengan usaha kesedaran kesihatan, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan pengesanan awal kanser payudara.

Pengalaman peribadi beliau menjadi titik tolak kepada perjuangannya. Ketika berusia 16 tahun, beliau menemui ketulan pada payudaranya.

Walaupun bukan kanser, detik itu memberi kesedaran mendalam tentang pentingnya pemeriksaan awal dan rawatan segera.

Sejak insiden tersebut, Opal giat melibatkan diri dalam kempen kesedaran mengenai kanser berkenaan di Thailand.

Pada malam ratu cantik tersebut beliau tampil memukau dalam persalinan gaun berkilau bertatah  batu permata opal.

Batu tersebut melambangkan keindahan, ketabahan dan keupayaan untuk berubah, sejajar dengan perjalanan hidup dan kekuatan peribadinya yang disampaikan menerusi inisiatif Opal For HER.

Sebelum menyertai Miss World, Opal pernah bertanding di Miss Universe 2024 di Mexico City dan merangkul tempat ketiga.

Pun begitu, gelaran Miss Universe Thailand ditarik balik selepas beliau diumumkan sebagai pemenang Miss World Thailand 2025, memandangkan tempoh penyandang belum tamat sepenuhnya mengikut peraturan pertandingan.

Malam kemuncak Miss World 2025 berlangsung di Hyderabad, India. — Instagram/@missworld

Malam kemuncak Miss World 2025

 

Mahkota Miss World 2025 diserahkan oleh penyandang terdahulu, Krystyna Pyszkova dari Republik Czech.

Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Hasset Dereje (Ethiopia), manakala peserta Poland, Maja Klajda, selesa di tempat ketiga. Aurlie Joachim dari Martinique pula melengkapkan kelompok empat finalis teratas.

Pertandingan akhir diserikan dengan persembahan memukau dan kehadiran ramai figura ternama. Acara dikendalikan oleh Miss World 2016, Stephanie del Valle yang tampil anggun dalam busana tradisional India (lehenga), bersama hos Sachiin Kumbhar.

Pentas turut dimeriahkan dengan persembahan bintang Bollywood, Jacqueline Fernandez dan Ishaan Khatter.

Barisan juri terdiri daripada tokoh pelbagai bidang antaranya pelakon, Sonu Sood yang turut menerima Anugerah Kemanusiaan Miss World.

Sudha Reddy pula hadir sebagai Duta Global 2025 bagi inisiatif Beauty With a Purpose.

Turut mengadili pertandingan ialah Miss England 2014, Dr Caryna Turrell dan pakar kesihatan awam dari Universiti Cambridge, selain Miss World 2024, Krystyna Pyszkova.

Panel juri pula dikendalikan oleh Pengerusi Miss World, Julia Morley CBE.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk bekas Miss World, Manushi Chhillar, pelakon Rana Daggubati dan Namrata Shirodkar, Ketua Menteri Telangana, Revanth Reddy serta bintang filem yang juga ahli politik tersohor, Chiranjeevi.

Tahun ini menandakan kali kedua berturut-turut India menjadi tuan rumah bagi pertandingan Miss World.

Edisi ke-71 sebelum ini berlangsung di Mumbai, menyaksikan Krystyna Pyszkova dimahkotakan sebagai ratu dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram