
SELEPAS hampir satu dekad menerajui koleksi wanita di rumah fesyen tersohor itu, Maria Grazia Chiuri mengumumkan pengundurannya, sekali gus menutup satu bab penting dalam sejarah jenama berusia lebih 75 tahun itu.
Pereka dari Itali tersebut menyertai Dior pada tahun 2016 dan mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai pengarah kreatif koleksi wanita jenama itu.
Beliau menggantikan Raf Simons dan membawa pendekatan baharu yang lebih berani, berjiwa sosial serta menekankan nilai-nilai feminisme dalam setiap koleksi.
BACA LAGI: Penting demi kesejahteraan si manja, 5 panduan ibu bapa mandikan bayi mengikut usia
BACA LAGI: Penulis novel Hunchback wanita OKU, raih gelaran 'Akutagawa' dari anugerah sastera tertua dunia
Pengundurannya disahkan menerusi satu hantaran di Instagram yang mana beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan dan tukang jahit yang telah bersama merealisasikan visinya selama ini.
Koleksi terakhirnya untuk Dior iaitu Resort 2026 dipersembahkan di kota kelahirannya, Rom.
Pertunjukan yang berlangsung di Villa Torlonia itu bertemakan serba putih sebagai simbol perpisahan.
Lokasi dan konsep yang dipilih dianggap sebagai penghormatan kepada asal-usul dan gaya peribadi Maria sendiri.
Sepanjang sembilan tahun di Dior, Maria membawa pelbagai pembaharuan yang memberi kesan besar terhadap arah jenama, mesej yang disampaikan dan sambutan pasaran.
Berikut adalah lima perubahan utama yang dibawanya:
1. Feminisme sebagai identiti koleksi
Maria menjadikan feminisme sebagai tema utama dalam banyak koleksi. Koleksi pertamanya untuk Musim Bunga 2017 menampilkan T-shirt dengan slogan 'We Should All Be Feminists'.
Ia menjadi permulaan kepada pendekatan baharu Dior yang lebih berani dan lantang dalam isu melibatkan wanita. Tema ini kekal menjadi tunjang utama sepanjang kerjayanya di jenama itu.
Selain Judy Chicago dan Faith Ringgold. Maria (kiri) juga pernah bekerjasama dengan pelukis dari Mexico, Elina Chauvet (tengah). — @instagram/@mariagraziachiuri
2. Gabungan seni dan mesej sosial
Beliau membawa unsur seni dan aktivisme ke pentas peragaan. Beliau bekerjasama dengan pelukis wanita seperti Judy Chicago dan Faith Ringgold.
Setiap pertunjukan fesyen diselitkan dengan elemen seni, sejarah dan mesej sosial yang menjadikannya lebih bermakna. Dior tidak sekadar mempamerkan busana mewah, tetapi juga menyuarakan isu yang dekat dengan hati wanita.
3. Mengangkat budaya dan kraftangan tempatan
Maria juga banyak mengetengahkan budaya serantau dan hasil kraftangan tempatan dalam koleksi Dior.
Antara yang menonjol ialah pertunjukan di Mumbai, India dan Kyoto, Jepun yang memberi ruang kepada komuniti seni tempatan.
Beliau memberi tumpuan kepada teknik tekstil tradisional yang sering dipinggirkan oleh industri fesyen mewah. Ini menjadikan Dior lebih dekat dengan pelbagai budaya.
Beg tangan 'saddle' antara produk paling laris di Dior. — Agensi
4. Memperkenalkan semula rekaan ikonik
Beliau menghidupkan semula rekaan klasik Dior seperti beg tangan Saddle. Beliau memberi sentuhan moden yang menjadikan beg itu kembali popular dalam kalangan penggemar fesyen baharu.
Usaha ini menggabungkan elemen warisan dan cita rasa semasa. Beg tersebut kemudiannya menjadi antara produk paling laris dan sering dipakai oleh selebriti.
5. Meningkatkan jualan jenama
Di bawah kepimpinannya, jualan Dior meningkat hampir 8 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) antara tahun 2017 sehingga 2023.
Beliau berjaya menggabungkan kreativiti dengan strategi komersial yang kuat, menjadikan Dior lebih kukuh dalam pasaran global.
Kehadirannya bukan sahaja memberi impak seni, tetapi juga membawa keuntungan besar kepada syarikat induk Dior, iaitu LVMH.
Setakat ini, Dior masih belum mengumumkan pengganti Maria Namun, pereka dari Britain, Jonathan Anderson disebut sebagai antara calon yang dipertimbangkan.
Dunia fesyen kini menanti siapakah yang akan meneruskan legasi di rumah fesyen berprestij ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram