Disangka orang asing, rupanya adik tiri, Gigi dan Bella Hadid dedah 'rahsia' 23 tahun


  • Gaya
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Bella (kiri) dan Gigi merupakan model berdarah Palestin-Amerika. — Agensi

MODEL adik-beradik terkenal, Gigi dan Bella Hadid mengejutkan peminat selepas mendedahkan mereka baru sahaja menemui seorang adik perempuan yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Selama 23 tahun, keluarga mereka menyimpan rahsia mengenai hubungan singkat bapa mereka, Mohamed Hadid dengan seorang wanita bernama Terri Hatfield Dull.

Hasil hubungan itu, Terri melahirkan seorang anak perempuan bernama Aydan Nix yang kini berusia 23 tahun.

BACA LAGI: Jangan hanya mencari kekurangan isteri, tanya juga pada diri sendiri, 'Sudahkah aku menjadi suami yang baik buatnya?

BACA LAGI: Makin menjadi-jadi trend suami isteri 'jaja' aib rumah tangga di media sosial, perlu ditegah, bertentangan prinsip jaga maruah

Ketika itu, Mohamed baru sahaja bercerai dengan bekas isterinya, ibu kepada Gigi dan Bella, Yolanda Hadid.

Gigi yang berusia 30 tahun dan Bella 28, langsung tidak mengetahui tentang kewujudan Aydan.

Segalanya terbongkar apabila Aydan menjalani ujian genetik selepas lelaki yang membesarkannya meninggal dunia ketika dia berusia 19 tahun.

Ujian tersebut menunjukkan lelaki itu bukan bapanya, malah Aydan mempunyai kaitan darah dengan keluarga Hadid.

Menurut Gigi dan Bella dalam satu kenyataan, mereka mula berhubung dengan Aydan pada penghujung 2023 dan menerima kehadirannya dalam keluarga dengan hati terbuka.

Aydan kini meluangkan masa bersama keluarga, termasuk ayah mereka, Mohamed Hadid yang menyifatkan kehadirannya sebagai anugerah tidak disangka.

Mereka banyak berbincang secara terbuka tentang cara terbaik untuk menyokong dan melindungi Aydan sambil menghormati privasi dan haknya untuk kekal tidak dikenali.

Kini, Aydan meneruskan kehidupannya di New York selepas menamatkan pengajian di Parsons School of Design dengan cita-cita menjadi pereka fesyen, penggaya dan personaliti media sosial.

Selain Aydan, Gigi dan Bella mempunyai seorang adik lelaki berusia 24 tahun, Anwar Hadid.

Untuk rekod, Mohamed Hadid pernah berkahwin dengan model Belanda, Yolanda Hadid, dari tahun 1994 hingga 2000.

Mohamed yang berketurunan Palestin-Amerika juga mempunyai dua anak perempuan lain iaitu Alana dan Marielle Hadid hasil perkahwinan pertamanya dengan Mary Butler, yang berakhir pada tahun 1992. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram