
SIAPA sangka, satu video tular di TikTok menjadi titik tolak kepada sebuah mimpi besar yang akhirnya menjadi kenyataan. Itulah yang dialami oleh jurusolek terkenal, Syanu, apabila diberi kepercayaan untuk menyolek Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra.
Dalam satu hantaran di media sosial, Syanu meluahkan rasa syukur dan terharu atas peluang itu yang dianggap sebagai pencapaian tertinggi dalam kerjayanya.
“Saya mengambil masa sebelum memuat naik hantaran ini kerana detik seperti ini wajar dirasai sepenuh hati. Bahkan sehingga kini, ia masih terasa seperti mimpi. Saat yang dulu hanya saya impikan kini menjadi kenyataan,” tulisnya.
BACA LAGI: Penulis novel Hunchback wanita OKU, raih gelaran 'Akutagawa' dari anugerah sastera tertua dunia
BACA LAGI: Trend fesyen ikut cara gen Z, ini 5 gaya paling ‘in’ hari ini
Jelasnya, semuanya bermula apabila video TikTok beliau bersama mantan Sultanah Pahang, Che Puan Besar Hajjah Kalsom Abdullah menjadi tular, sekali gus membuka ruang kepada pertemuan itu.
“Dipilih dan diberi kepercayaan oleh kerabat diraja Malaysia. Ia bukan sekadar satu penghormatan. Ia adalah satu nikmat yang akan saya bawa sepanjang hayat,” tambah Syanu sambil menyatakan bahawa arwah ibunya pasti tersenyum bangga dari syurga.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada sosok diraja itu atas kepercayaan yang ditunjukkan kepadanya.
“Terima kasih Tuanku Sultanah atas kepercayaan yang diberikan. Saya amat bersyukur dan berterima kasih. Ampun Tuanku," ujarnya.
Penampilan baginda dalam hantaran berkenaan turut mencuri tumpuan.
Baginda mengenakan busana baju kurung songket berwarna putih yang dihiasi dengan perincian manik halus, digandingkan dengan selendang yang dirias kemas dan menutup bahagian dada serta memperlihatkan sedikit helaian rambut di hadapan.
Penampilan baginda diserikan lagi dengan pemakaian rantai bertatahkan permata rona seakan merun serta anting-anting padanan yang menambahkan seri dan keanggunan diraja.
Sementara itu, pihak Majoriti sedang menunggu maklum balas daripada jurusolek terlibat untuk mendapatkan reaksi lanjut mengenai pengalaman beliau menyolek baginda serta proses di sebalik penampilan diraja yang menjadi tumpuan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram