
SEBAHAGIAN besar individu pasti pernah mengalami detik yang membuatkan kita menyesal dengan tindakan sendiri sama ada kerana tersalah percaturan, terlalu terburu-buru membuat keputusan atau sekadar mengikut rasa hati.
Lebih perit apabila keputusan itu melibatkan wang ringgit yang sudah pun dibelanjakan dan tidak mungkin dikembalikan.
Satu bentuk penyesalan yang kerap berlaku namun jarang diperkatakan secara terbuka ialah penyesalan selepas membeli barang yang tidak menepati jangkaan.
BACA LAGI: Nora Danish, Amira, Amyra wajah Amber Oasis Abaya, terhad 500 unit setiap rekaan
Najua (kiri) dan Puteri masing-masing mempunyai pengalaman menyesal selepas membeli-belah. — Instagram/@_najuabahari & @pu3_hime
Sama ada terpengaruh dengan trend semasa, terbeli saiz yang salah atau tertipu dengan gambar di laman beli-belah, empat wanita ini berkongsi kepada Majoriti pengalaman membeli yang berakhir dengan penyesalan.
Nurul Najua Bahari, 26, mengakui pernah membeli jaket kulit tiruan secara dalam talian ketika ia menjadi trend hujung tahun lalu.
“Saya beli semasa jaket kulit tengah hit. Tapi apabila sampai, saya tak pernah pakai pun sebab langsung tak sesuai dengan gaya harian saya,” katanya.
Walaupun menyesal, jaket bernilai lebih RM70 itu masih disimpannya kerana sayang untuk dijual.
Putri Noradlina, 23, pula sering terpedaya dengan ‘perangkap' gambar cantik yang ditampilkan dalam iklan atas talian.
“Saya selalu beli online, lagi-lagi apabila tengok model dalam gambar nampak sangat lawa. Tapi sebaik barang sampai, tak sama pun. Banyak kali dah tertipu,” katanya sambil tertawa.
Namun begitu, Putri tidak membiarkan rasa kecewa menguasai diri. Beliau lebih gemar mencari alternatif seperti menggayakan semula pakaian dengan teknik layering atau gabungan warna dan fabrik berbeza supaya tetap tampak menarik.
Bagi Nur Shahirah, 31, pengaruh media sosial yang sarat dengan kandungan fesyen sering membuatkannya terjebak dalam budaya FOMO (Fear of Missing Out).
Berhati-hati ketika membuat pembelian melalui talian kerana apa yang dipaparkan tidak semestinya sesuai dengan diri kita. — Gambar hiasan/Freepik
“Saya pernah beli kasut harga RM200 menerusi talian, tapi walaupun ambil saiz paling kecil, tetap longgar. Kesudahannya langsung tak boleh pakai,” ceritanya.
Sejak itu, beliau hanya membeli kasut secara fizikal di kedai untuk memastikan saiz dan keselesaan. Kasut yang dibeli itu akhirnya dijual semula.
Laylaa, 28, turut mengaku gemar membeli-belah secara dalam talian. Namun baginya, keinginan itu adakalanya bertukar menjadi kekecewaan.
“Apabila tengok orang lain beli, kita pun nak juga. Tapi bila dah beli, rasa biasa-biasa sahaja. Tak seperti yang dibayangkan,” katanya.
Menurutnya, meskipun tidak terlalu kisah soal harga, beliau tetap mementingkan kualiti dan kini lebih berhati-hati dengan tawaran yang terlalu menarik perhatian.
Tidak dinafikan keinginan untuk membeli sesuatu sangat mengujakan, namun ia boleh meninggalkan rasa kesal jika kita tersilap langkah.
Paling penting, setiap pembelian yang mengecewakan mengajar kita satu perkara berharga iaitu nilai sebenar bukan pada harga barang, tetapi pada kesesuaian, kegunaan dan kepuasan selepas memilikinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram