Berkat sokongan suami, Nadia Khan berjaya angkat novel Gantung ke layar perak, penantian 7 tahun berbaloi


  • Cinta
  • Khamis, 29 Mei 2025

Nadia (kanan) teruja apabila karya popular Gantung diangkat ke layar perak dengan judul Gantung: Musketeer Code selepas tujuh tahun dinantikan peminat. 

SELEPAS tujuh tahun dinantikan peminat, karya popular Gantung kini diangkat ke layar perak dengan judul Gantung: Musketeer Code

Di sebalik kejayaan membawa naskhah itu ke pawagam, pengarah dan penerbitnya, Nadia Khan mengakui sokongan terkuat datang daripada insan terdekat iaitu suaminya, Mamu Vies.

“Suami juga seorang penulis, jadi dia sangat faham betapa dekatnya filem ini di hati saya,” ujar Nadia kepada Majoriti pada Majlis Malam Gala & Tayangan Perdana filem Gantung Musketeer Code di Kuala Lumpur, Rabu. 

BACA LAGI: Dr. Wan Azizah rai isteri pemimpin ASEAN, angkat warisan seni Malaysia, pameran telepuk, bunga orkid jadi perhatian

BACA LAGI: [VIDEO] Songket Melanau 'mendonia', Dr. Nisha anggun gayakan gaun fabrik warisan dihiasi 999 batu kristal Swarovski di Cannes 

Nadia (kiri) menyatakan suaminya bukan sahaja bantu dari segi emosi, malah meliputi aspek teknikal pasca produk filem tersebut. — Gambar/Instagram @neddokhan 

Menurutnya, sokongan suami bukan sekadar emosi, tetapi turut meliputi aspek teknikal terutamanya dalam kerja-kerja pasca produksi.

“Dia memainkan peranan sangat penting, bukan sekadar sokongan moral. Dia tahu impian saya sejak dulu ingin menjadi pengarah dan Gantung: Musketeer Code adalah permulaan kepada impian itu,” katanya lagi.

Nadia juga mengejutkan ramai apabila mengambil keputusan melakonkan sendiri watak sebagai kakak kepada salah seorang watak utama, Troll.

Menurutnya, keputusan itu lahir selepas pelakon Hafreez Adam, yang memegang watak Troll mencadangkan agar beliau membawa watak tersebut demi menyempurnakan babak akhir yang menyentuh emosi.

“Saya sebenarnya mencadangkan beberapa nama, tapi Hafreez kata, ‘final scene, you seorang sahaja yang boleh mendalami momen tu.’ Jadi emosi untuk mainkan watak itu boleh tercetus secara semula jadi. Lama juga saya fikir, akhirnya saya ambil cabaran tu,” jelas Nadia.

Nadia (kanan) turut terlibat dalam filem berkenaan dengan memegang watak kakak kepada Troll.

Membawa semangat musketeer ke layar perak bukanlah perkara mudah.

Menyedari tekanan tinggi untuk menepati kehendak pembaca setia, Nadia yang juga penulis skrip bagi filem berkenaan akur banyak perkara darpadai novel terpaksa diubah demi kesesuaian medium filem.

“Walaupun saya penulis novel dan skrip, tetap ada cabaran apabila hasilkan adaptasi. Ada babak yang perlu dikorbankan sebab tak sesuai untuk filem. 

"Tapi kami yakin dan percaya, peminat mahukan pengakhiran yang memuaskan. Insya-ALLAH, kami juga ada impian tayangkan filem ini ke luar negara seperti Indonesia,” ujarnya.

Filem Gantung Musketeer Code turut dibintangi barisan artis tempatan popular dan berkaliber. 

Filem tersebut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ikmal Amry, Ben Amir, Hafreez Adam, Shazia Rozaini serta pelakon dari Indonesia, Brandon Salim dan Gita Sucia. 

Turut menyerikan karya itu adalah nama-nama besar industri seperti Bront Palarae dan Sofia Jane, sekali gus mengangkat kualiti produksi ke tahap lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram