[VIDEO] Isteri, 2 anak kecil dipaksa mengemis, suami dikatakan alami masalah mental tenang merokok


  • Maya
  • Rabu, 28 Mei 2025

Seorang lelaki tergamak memaksa isteri dan dua anak kecilnya untuk meminta sedekah.

HATI siapa tidak luluh melihat seorang wanita menangis teresak-esak di tengah jalan sambil mendukung anak, sedangkan suaminya hanya duduk tenang di tepi jalan sambil menghisap rokok tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Kejadian menyayat hati yang berlaku di kawasan Kelapa Dua Wetan, Ciracas, Jakarta Timur, Indonesia itu tular selepas dimuat naik oleh seorang pengguna, Ciracasinfo baru-baru ini.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan warganet yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib wanita tersebut.

BACA LAGI: Dr. Wan Azizah rai isteri pemimpin ASEAN, angkat warisan seni Malaysia, pameran telepuk, bunga orkid jadi perhatian

BACA LAGI: [VIDEO] Songket Melanau 'mendonia', Dr. Nisha anggun gayakan gaun fabrik warisan dihiasi 999 batu kristal Swarovski di Cannes

Menurut maklumat awal, wanita itu dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila dipaksa oleh suaminya untuk mengemis di jalanan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Lebih memilukan, suaminya dilaporkan sering membawa isteri dan dua anak kecil ke lokasi berkenaan untuk memaksa mereka mengemis.

Dalam video tersebut, kedengaran suara individu yang merakam insiden menegur keras perbuatan suaminya

"Bawa sahaja dia ke pejabat, bukannya diseksa oleh suaminya. Paksa dia mengemis," kata penduduk dalam rakaman berkenaan.

Beberapa penduduk tempatan yang menyaksikan kejadian cuba meleraikan pasangan itu apabila melihat wanita itu tidak mampu menahan kesakitan sehingga alami tekanan emosi.

Susulan kejadian itu, pasukan petugas dari kerajaan tempatan segera tiba ke lokasi untuk melakukan siasatan lanjut.

Menurut Datuk Bandar Jakarta Timur, Munjirin, hasil siasatan mendapati si suami memiliki tanda-tanda gangguan mental.

“Petugas segera ke lokasi dan bekerjasama dengan keluarga si suami. Kami menerima maklumat bahawa lelaki itu berkemungkinan mengalami gangguan jiwa,” kata Munjirin.

Tambah beliau, pihak Jabatan Perkhidmatan Sosial mengambil tindakan pantas untuk membawa suspek ke Hospital Khusus Wilayah (RSKD) Duren Sawit bagi menjalani rawatan lanjut.

“Selepas berunding dengan Ketua Perkhidmatan Sosial, kita akan bawa lelaki itu ke hospital untuk pengesahan lanjut berkait masalah kesihatan memandangkan terdapat petunjuk awal dia mengalami gangguan mental,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram