
SEORANG wanita dari Australia mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan kisah cintanya berakhir dalam tempoh satu jam selepas melafazkan ikrar perkahwinan.
Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta selama enam tahun runtuh dalam sekelip mata apabila si suami menghilangkan diri sewaktu majlis masih berlangsung.
Pengantin perempuan, Kylie tampil dalam satu sesi temu bual di radio Nova’s Late Drive dan menceritakan peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam kepada hidupnya.
“Kami telah bersama selama enam tahun. Majlis perkahwinan kami cantik dan penuh kebahagiaan. Tapi dia hilang selepas sesi bergambar. Tak muncul pun untuk makan malam resepsi, tak bagi sebarang sebab, tak hantar mesej.... terus hilang macam tu sahaja," kata Kylie.
Pada awalnya, beliau cuba menyembunyikan perkara sebenar daripada tetamu dengan berlagak tenang dan meneruskan malam itu dengan senyuman palsu walaupun hatinya sedang remuk.
Namun, di sebalik kemeriahan majlis, Kylie berdepan kenyataan bahawa lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya telah meninggalkannya tanpa sebarang kata-kata.
Hati seorang wanita runtuh selepas suaminya menghilangkan diri tepat selepas akad nikah dilafazkan. — Gambar Hiasan
Lebih mengejutkan, beberapa bulan selepas kejadian itu, Kylie mengetahui bahawa suaminya sebenarnya menjalin hubungan sulit dengan sepupunya sendiri.
“Saya dapat tahu yang dia sebenarnya bercinta dengan sepupu saya dan kini mereka bersama.
"Saya langsung tak berhubung dengan mereka lagi. Rasa dikhianati yang sangat dalam. Dua orang yang saya percaya, khianat dalam senyap," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram