
DALAM rumah tangga, kasih sayang sering kali menjadi alasan utama isteri berkorban termasuk sanggup menanggung beban hutang suami.
Namun, sejauh mana pengorbanan itu perlu diteruskan dan apakah hak isteri jika suami terus-menerus gagal melunaskan tanggungjawabnya?
Peguam Syarie Negeri Selangor merangkap Panel Hakam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Muhammad Amirul Akmal Ismail berkata, kes sebegitu memerlukan penilaian serius kerana ia melibatkan soal keselamatan, emosi dan maruah isteri.
Muhammad Amirul Akmal merupakan pengamal undang-undang syariah di Firma Tetuan Amirul Akmal & Associates.
Sekiranya seorang isteri sudah berusaha membantu suami yang terbeban dengan hutang tetapi si suami gagal menunjukkan sebarang usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan, maka adalah menjadi kewajipan bagi isteri tersebut memohon cerai demi memastikan keselamatan dan nyawanya terjaga.
“Kalau suami sampai berhutang dengan 'ah long' dan tak ada usaha keluar dari masalah itu, keadaan jadi bahaya. Apabila sampai tahap mengancam nyawa dan mental isteri, maka hukumnya wajib untuk isteri mohon cerai,” katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tekanan emosi dan mental yang dialami isteri akibat menanggung keseluruhan beban rumah tangga juga adalah asas yang sah untuk memohon cerai.
“Sekiranya isteri rasa terbeban kerana terpaksa menanggung keperluan harian, anak-anak dan komitmen kewangan yang sepatutnya diuruskan suami, maka Islam membenarkan isteri memohon perceraian,” jelasnya.
Segelintir individu dibelenggu hutang sehingga mengundang masalah kepada diri dan keluarga.
Pemberian isteri dari sudut kewangan sewaktu suami gagal jalankan tanggungjawab: Dikira hutang atau tidak?
Apabila isteri membantu melunaskan hutang suami atau menyumbang dari segi kewangan untuk mengurus keluarga, timbul persoalan sama ada bantuan tersebut dianggap sebagai hutang yang wajib dibayar semula oleh suami.
Dalam isu tersebut, Muhammad Amirul Akmal menjelaskan bahawa perkara itu bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara suami isteri.
Jika bantuan diberikan tanpa niat untuk dituntut semula dan disertai dengan lafaz reda atau pelepasan hak, maka ia tidak dikira sebagai hutang.
Sebaliknya, jika bantuan itu diberikan dengan syarat akan dibayar semula, ia dikira sebagai hutang yang wajib dilunaskan oleh suami apabila mampu.
“Segalanya bergantung kepada akad. Jika isteri kata ‘saya bantu awak, tapi ini hutang’, maka itu adalah hutang. Tapi jika dia reda dan nyatakan bantuan itu sebagai sumbangan, maka tiada tuntutan,” katanya.
Menurut beliau, walaupun isteri sanggup berkorban atas dasar cinta dan ingin mempertahankan rumah tangga, suami tetap wajib mengambil semula tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila berkemampuan.
“Apabila keadaan kewangan sudah stabil, suami perlu teruskan tanggungjawab seperti biasa. Jangan lepas tangan dan biar isteri terus menanggung segalanya,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram