Bantu kurangkan 'range anxiety' dalam kalangan pemandu wanita, kereta elektrik e.MAS 7 terbukti lebih praktikal


  • Sukses
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff turut sama turun padang di dalam sesi pandu uji khas.

SATU sesi pandu uji khas untuk golongan wanita sempena acara The Real e.MAS Drive, telah berlangsung pada 14 Mei lepas. 

Bermula dari Centre of Excellence (COE) Proton ke Tiarasa Escapes, Janda Baik, Pahang, setiap peserta berpeluang merasai sendiri keselesaan pemanduan, ciri keselamatan dan teknologi kereta elektrik (EV) e.MAS 7 yang canggih. 

BACA LAGI: Trackday uji kehebatan kenderaan, hujan tingkatkan adrenalin pemandu di SIC Sepang

BACA LAGI: Dahulu membesar di hutan, kini terbang tinggi, wanita Orang Asli cipta sejarah dalam dunia penerbangan

Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff menerangkan bahawa pemanduan EV sebenarnya lebih mudah daripada yang disangka. 

Beliau menggalakkan pengguna wanita yang masih ragu-ragu supaya datang ke pusat jualan dan mencuba sendiri memandu e.MAS 7 terbaharu.

Menurut Salawati, “range anxiety” atau rasa resah dalam kalangan wanita terhadap pemanduan EV adalah sesuatu yang normal, malah beliau sendiri pernah mengalaminya.

“Saya sendiri pernah rasa gelisah pada beberapa hari pertama memandu EV. Bateri turun 50 peratus pun saya sudah panik,” katanya sambil menyifatkan keadaan ini berlaku kerana kebiasaan pengguna melihat stesen minyak pada setiap dua hingga tiga kilometer, berbeza dengan pengecas EV.

Sistem navigasi pintar yang menunjukkan baki julat serta lokasi pengecas, menjadikan e.MAS 7 pilihan ideal untuk wanita yang inginkan praktikaliti.

Beliau menekankan bahawa ramai pembeli e.MAS 7 terdiri daripada mereka yang pertama kali memandu EV dan harga mampu milik turut menjadi faktor utama kepada lonjakan permintaan.

Selain itu, Salawati turut menekankan kelebihan e.MAS 7 yang boleh dimanfaatkan oleh para wanita dan ibu berkeluarga.

“Kenderaan ini sangat sesuai untuk kegunaan harian, malah mesra keluarga. Jika berhenti di hentian rawat dan rehat (R&R), kita hanya perlu cas selama 10 minit dan ia mampu bergerak sejauh 135 kilometer,” jelasnya.

Demonstrasi menunjukkan kuasa bateri e.MAS 7 yang berkemampuan menghidupkan peralatan elektrik seperti pengisar.  

Menyentuh isu infrastruktur, Salawati menolak anggapan bahawa kemudahan pengecasan masih tidak mencukupi.

“Sekarang ini, kondominium dan kompleks beli-belah semakin banyak menyediakan tempat mengecas. Cuma kadangkala kita sahaja yang terlepas pandang,” katanya.

Beliau turut membandingkan rutin mengecas EV dengan telefon pintar.

“Kita sudah biasa cas telefon setiap malam, jadi kenapa tidak dengan kereta?” katanya sambil menambah bahawa e.MAS 7 mempunyai julat pemanduan WLTP sejauh 410 kilometer (km) untuk Premium, manakala 245 km bagi Prime.

Salawati menyeru para wanita untuk lebih terbuka dan bersedia menerima perubahan, terutamanya dalam era teknologi hijau ini.

“Penggunaan EV bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.

Kelebihan e.MAS 7

Kereta elektrik ini menampilkan ciri keselamatan canggih seperti Sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS) dan penarafan keselamatan 5-bintang ANCAP. 

Reka bentuk mesra keluarga dengan ruang dalaman yang luas dan 33 ruang penyimpanan menjadikannya sangat praktikal, manakala keupayaan pengecasan pantas DC membolehkan pengecasan dari 30 peratus ke 80 peratus dalam hanya 20 minit. 

Ciri inovatif seperti Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan pengguna menggunakan kereta untuk menjana kuasa bagi pelbagai peralatan elektrik, sesuai untuk aktiviti luar. 

Dengan aplikasi Proton e.MAS yang menyediakan peta pengecasan bersepadu, pengguna boleh mencari, menavigasi dan membayar pengecasan dengan mudah. 

Bermula pada harga RM105,800, e.MAS 7 bukan sahaja lestari dan pintar, malah menjadikan mobiliti moden lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram