Tragedi menyayat hati, pakar pediatrik wanita di Gaza hilang 9 anak serentak dalam serangan udara Israel


  • Bonda
  • Selasa, 27 Mei 2025

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan hampir 54,000 rakyat Palestin, termasuk 16,503 kanak-kanak, telah terbunuh akibat serangan Israel di wilayah Khan Younis. — Agensi

PADA awal pagi Jumaat, seperti kebiasaan setiap hari, Dr. Alaa al-Najjar mengucapkan selamat tinggal kepada 10 anaknya sebelum keluar rumah.

Anak bongsunya, Sayden berusia enam bulan, masih lena tidur. Seperti biasa, dalam keadaan perang berterusan di Gaza dan serangan Israel bertubi-tubi hanya beberapa meter dari kawasan kejiranan di Khan Younis, Alaa tetap risau meninggalkan anak-anaknya di rumah tanpa penjagaan.

Namun Alaa , 35, tidak mempunyai banyak pilihan sebagai salah seorang doktor yang masih tinggal di Gaza, beliau merupakan pakar pediatrik dihormati di Kompleks Perubatan Nasser dan perlu bertugas merawat bayi-bayi terselamat daripada serangan Israel.

BACA LAGI: Bertugas lebih masa mahu bantu keluarga, ahli terapi raih gaji lebih tinggi bekerja di pusat kitar semula

BACA LAGI: 'Sekali pandang macam asli', kualiti tinggi pokok tiruan ubah persepsi

Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa ucapan selamat tinggal itu akan menjadi yang terakhir buat keluarganya.

Beberapa jam kemudian, mayat rentung tujuh anaknya yang terbunuh akibat serangan udara Israel di Khan Younis dihantar ke hospital tempatnya berkhidmat.

Dua lagi mayat, termasuk Sayden, masih tertimbus di bawah runtuhan manakala daripada 10 anak mereka, hanya seorang terselamat bersama bapa mereka, Hamdi al-Najjar, 40, juga doktor.

Kedua-duanya kini dirawat di hospital.

"Ia adalah antara tragedi paling menyayat hati sejak konflik ini bermula.

"Ia menimpa seorang pakar pediatrik yang mendedikasikan hidupnya untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak, namun keibuan dirinya diragut dalam sekelip mata oleh api dan kesunyian yang memekakkan telinga," kata Ketua Jururawat di Hospital Nasser, Mohammed Saqer.

Adam al-Najjar (kiri), terselamat dalam serangan tersebut, bersama adik-beradiknya Sidra dan Eve, dua daripada kanak-kanak yang terkorban. Agensi

Rakaman yang dikongsi oleh pengarah kementerian kesihatan Gaza dan disahkan oleh The Guardian menunjukkan mayat kanak-kanak yang hangus dan hancur ditarik keluar dari runtuhan bangunan Alaa yang terletak berhampiran sebuah stesen minyak, manakala api masih membakar sisa rumah mereka.

Ali al-Najjar, 50, abang kepada Hamdi, suami Alaa, berkata: "Sebaik sahaja dengar rumah mereka dibom, saya terus memandu ke tempat kejadian kerana tahu adik saya dan anak-anaknya berada di dalam rumah. Apabila tiba, saya terkejut. Saya jumpa anak saudara Adam yang terselamat, terbaring di atas jalan di bawah runtuhan. Dia dipenuhi jelaga, pakaiannya koyak rabak, tapi masih bernyawa. Adik saya pula terbaring di bahagian lain, berdarah teruk pada kepala dan dada, dan lengannya putus. Dia masih bernafas dengan susah payah.”

Ali segera menghubungi pasukan perubatan dan membawa dua mangsa terselamat itu ke hospital. Kemudian beliau mula mencari sembilan anak saudaranya yang lain.

"Rumah itu sangat sukar untuk dibersihkan kerana siling bertindih di atas satu sama lain. Saya mula mencari di sekitar rumah dengan harapan ada antara mereka tercampak keluar semasa letupan.

"Namun malangnya, mayat pertama yang hangus ditemui. Selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya, kami temui kesemua mereka ada yang hancur dan semuanya rentung," katanya.

Lau Alaa bergegas ke lokasi letupan ketika pasukan penyelamat menarik keluar mayat anak perempuannya, Revan dari runtuhan.

Dalam tangisan, beliau merayu agar diberi peluang memeluk anaknya buat kali terakhir.

"Tubuh Revan rentung sepenuhnya dari bahagian atas, tiada lagi kulit atau daging yang tinggal.

"Masih ada dua mayat anak adik saya yang belum ditemui: anak sulung lelaki, Yahya, 12 tahun dan bayi perempuan, Sayden, enam bulan," kata Ali.

Alaa kembali ke hospital untuk menjenguk anak lelakinya Adam, 11, dan suaminya.

Menurut petugas di hospital Nasser yang mengurus pemindahan mayat anak-anak Alaa ke bilik mayat satu per satu, ibu mereka tidak dapat mengecam jasad anak-anaknya akibat kesan terbakar yang teruk.

Nama anak-anak tersebut ialah Yahya, Rakan, Ruslan, Jubran, Eve, Revan, Sayden, Luqman dan Sidra.

"Alaa pergi ke bilik mayat, memeluk anak-anaknya, membacakan ayat al-Qur’an dan mendoakan mereka.

"Doktor-doktor wanita yang berada bersamanya rebah kerana kesedihan dan kemarahan, tetapi Dr Alaa tetap tenang. Tuhan telah memberi ketenangan pada hatinya. Selepas selesai pengebumian, beliau terus pergi menjaga suami dan anaknya," kata Pengarah Bangunan Kanak-Kanak di Kompleks Perubatan Nasser, Dr Ahmed al-Farra, 53.

Anak saudara melawat suami Alaa yang kini dirawat di hospital.Agensi

Rakan sekerja di hospital menyifatkan Alaa seorang doktor yang komited, sopan dan beretika, mampu bekerja di bawah tekanan luar biasa, merawat puluhan pesakit setiap hari sambil membesarkan keluarga yang besar.

"Dia sentiasa risau tentang anak-anaknya ketika berada di hospital. Bila mendengar ada rumah dibom di kawasan Qizan al-Najjar, naluri keibuannya segera merasa ada yang tak kena," kata Farra.

Beliau berkata, tiada kata yang mampu menggambarkan kehilangan itu.

"Sebelum sesiapa mahu beri pendapat, bayangkan dulu jika perkara ini berlaku kepada diri mereka sendiri, kehilangan setiap insan yang dekat dengan hati mereka secara tiba-tiba."

Selepas mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada tujuh anaknya yang tidak bernyawa, Alaa terus ke wad untuk melihat keadaan anaknya yang masih hidup.

"Suaminya mengalami kecederaan teruk akibat kerosakan otak dan patah akibat serpihan bom, serta luka dan retakan di bahagian dada. Dia kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan pelbagai tiub perubatan," kata Farra.

"Keadaan anaknya pula agak stabil, kecederaannya sederhana hingga teruk."

Rakan dan kenalan Alaa memaklumkan bahawa anak-anak mereka memiliki kewarganegaraan Mesir dan pasangan itu sebelum ini bercadang untuk berpindah ke Mesir dan mendaftarkan anak-anak mereka di Universiti Al-Azhar di Kaherah.

Eve dan Rakan bersama bapa mereka, Dr Hamdi al-Najjar.Agensi

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata: "Semalam, pesawat IDF telah menyerang beberapa suspek yang dikenal pasti beroperasi dari sebuah struktur berhampiran pasukan IDF di kawasan Khan Younis. Kawasan Khan Younis merupakan zon perang yang berbahaya.

"Sebelum operasi dijalankan, IDF telah mengarahkan pemindahan penduduk awam demi keselamatan mereka.

"Dakwaan mengenai kecederaan terhadap orang awam yang tidak terlibat sedang disiasat.”

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan hampir 54,000 rakyat Palestin, termasuk 16,503 kanak-kanak, telah terbunuh akibat serangan Israel di seluruh wilayah itu.

Farra menambah: "Satu-satunya harapan saya ialah agar mereka yang terbunuh ini tidak hanya menjadi nama di atas kertas. Kami dicipta sama seperti manusia lain di seluruh dunia dan seperti orang lain, kami juga berhak untuk hidup." — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram