Manis mulut dengan orang sekeliling, isteri sendiri tidak diendahkan


  • Cinta
  • Isnin, 26 Mei 2025

Selain ibu bapa, tiada siapa yang lebih mengenali diri seorang lelaki selain isterinya. — Gambar Hiasan

KADANG-KADANG dalam hidup berumah tangga, tanpa sedar kita lebih memihak kepada dunia luar berbanding insan yang paling hampir dengan kita iaitu isteri sendiri.

Kita mudah tunduk dengan kata-kata orang luar, mudah berkata 'ya' kepada permintaan mereka, namun bila isteri berbicara, kita mula berdalih dan membantah.

Mengapa mudah angguk pada kata orang luar, tetapi bila isteri bersuara, kita melawan?

BACA LAGI: Limbungan kapal lama di tebing Sungai Perak, diubah suai jadi ruang pejabat mewah

BACA LAGI: Warisan pada setiap paku, seni rumah tradisi oleh tukang kayu Kampar

Bila isteri minta tolong, banyak alasan

Fenomena itu bukan lagi asing apabila isteri hanya minta bantuan kecil di rumah mungkin angkat barang, jaga anak sebentar atau bantu di dapur tapi suami sering beri alasan sibuk, letih, atau ‘nanti-nantilah’.

Tapi bila kawan ajak lepak di kedai makan atau keluar bermain, semua tenaga seolah-olah kembali pulih.

Ironinya, bila isteri ajak keluar berjalan, seribu satu alasan diberikan, namun jika diajak orang luar, ke mana sahaja pun sanggup pergi walau sampai ke hujung dunia.

Bila sakit, siapa yang jaga?

Satu lagi hakikat yang sukar disangkal bila jatuh sakit, terlantar atau dalam kesusahan, isterilah orang pertama setia berdiri di sisi.

Dialah yang akan berjaga malam, menyediakan ubat, memastikan keperluan dijaga dan emosi dipujuk.

Namun, dalam keadaan biasa, sering kali isteri itu dilupakan, dipandang sebelah mata dan suaranya tidak diberi tempat.

Mengapa mudah angguk pada kata orang luar, tetapi bila isteri bersuara, kita melawan? — Gambar Hiasan

Isteri kenal siapa kita

Selain ibu bapa, tiada siapa yang lebih mengenali diri seorang lelaki selain isterinya.

Isteri tahu baik buruk kita, tahu saat kita sedang pura-pura, tahu bila kita benar-benar tertekan.

Dengan orang luar, kita mungkin boleh berlakon, tetapi dengan isteri, semua akan terbongkar jua walau sebanyak mana rahsia kita simpan. Lambat laun isteri akan tahu juga.

Naluri dan kepekaan seorang isteri itu luar biasa.

Nasihat dari hati, bukan untuk menyakitkan

Kadang-kadang kita tersilap menafsir apabila kita menganggap nasihat isteri sebagai bebelan, sedangkan hakikatnya itu adalah bentuk kasih sayang.

Isteri hanya mahu yang terbaik untuk suaminya dan melihat suaminya berjaya, sihat, beriman serta dihormati.

Tiada isteri yang tidak mahu melihat suaminya melangkah jauh.

Namun, jika suami terus mendengar suara orang luar dan menafikan suara hati isteri, maka yang rugi adalah diri sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram