
DI sebuah bengkel kayu sederhana di Kampar, Perak, Khairul Azri Ahmad Kharidi sedang menghidupkan semula seni pertukangan tradisional Melayu ia satu warisan yang semakin terhakis dalam arus kemodenan.
Bermula sebagai seorang pekerja kilang selepas tamat sekolah, lelaki ini memilih jalan hidup yang luar biasa.
Khairul menjadi tukang kayu sepenuh masa dengan tunjuk ajar daripada pengalaman, minat dan sedikit keberanian.
BACA LAGI: Nampak cantik tapi buat ramai menyesal, 9 kesilapan renovasi dapur patut tahu
BACA LAGI: Mengapa sebegitu mudah cinta suami berubah? Pudarnya kasih sayang, kesan hati mulai menjauhi Tuhan
"Saya tak belajar formal, tapi saya banyak tanya orang, termasuk yang tak saya kenal. Tanya dekat WhatsApp, Alhamdulillah ada yang sudi berkongsi ilmu,” kata Khairul, pemilik syarikat tunggal Aisar Hamku Solution
Minatnya dalam dunia kayu tercetus selepas merasakan kerja sewaan yang diceburinya selepas berkahwin tidak kena dengan jiwa.
Apa yang membezakan Khairul daripada ramai tukang lain ialah pendekatannya yang intuitif, praktikal dan berteraskan kejujuran.
Setiap rekaan rumah kayunya dihasilkan berdasarkan permintaan pelanggan dan dia sendiri melukis lakaran mengikut pemahaman sendiri.
Khairul Azri Ahmad Kharidi
"Kalau saya faham, saya terus buat. Kalau pelik-pelik, saya bagi pada kawan yang lebih pakar," ujarnya, merendah diri.
Di sebalik sentuhan tangan tukang ini ialah falsafah kerja yang teliti.
Khairul gemar menggunakan kayu meranti yang lebih mesra bajet dengan setiap binaan diperkuatkan dengan sistem skru “bornat” (bolt dan nut) dan struktur rangka bagi memastikan ketahanan.
Kerja-kerja pemasangan rumah kayu sedang dipasang oleh pasukan Khairul.
Walaupun tidak menawarkan rawatan anti-serangga secara langsung, dia tetap menasihati pelanggan agar menjaga rumah kayu mereka dengan rapi.
"Antara reka bentuk gazeboo yang paling popular adalah gazeboo bersaiz 5x14 kaki yang boleh disiapkan dalam tiga hari setengah.
"Bagi rumah yang lebih besar seperti saiz 10x14 kaki, masa siap boleh mencecah hingga sembilan hari bergantung kepada keadaan tapak dan cuaca.
"Kalau tanah lembik atau berbukit, itu antara cabaran terbesar. Cuaca pun main peranan besar," katanya.
Khairul menggunakan kayu meranti untuk binaannya.
Keistimewaan kerja Khairul bukan sahaja pada kualiti pertukangan, tetapi juga pada kepercayaannya terhadap pelanggan.
"Saya tak ambil deposit. Bayar bila penghantaran dan pemasangan dah selesai. Sekarang ni ramai yang takut kena scam, jadi saya elakkan," jelasnya.
Pelanggannya pula datang dari pelbagai latar, dari kampung hingga ke bandar seperti Sekinchan ke Ampang, dari Tanjung Karang ke Johor Bahru.
Rekaan rumah kayu yang disempurnakan oleh Khairul mengikut permintaan pelanggan.
Ada yang mahukan rumah berinspirasikan reka bentuk moden dan ada juga yang memilih elemen tradisional.
Walaupun untuk yang kedua ini, Khairul lebih senang menyerahkan kepada rakan-rakan yang lebih mahir dalam estetika warisan.
Cita-cita Khairul tidak berhenti di situ kerana beliau kini menerima pelajar praktikal dari kolej profesional untuk belajar seni pertukangan kayu di bengkelnya.
Harapannya? Agar warisan itu terus disambung oleh generasi muda.
"Ilham itu kadang datang dari mana-mana. Kadang tengok gambar dekat Google atau Facebook sahaja.
"Tapi saya tak suka tiru. Saya suka reka bentuk sendiri," jelasnya.
Khairul Azri bukan sekadar tukang kayu, beliau adalah penjaga seni yang mana setiap inci rumah kayu dibinanya, tersembunyi kisah tentang kesabaran, cita rasa, dan cinta terhadap warisan bangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram