Nampak cantik tapi buat ramai menyesal, 9 kesilapan renovasi dapur patut tahu


  • Hias
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Zalya mendedahkan penyesalan-penyesalan yang biasa berlaku selepas renovasi dapur. — Gambar Hiasan

RAMAI antara kita mengimpikan dapur idaman dengan ruang yang bukan sahaja cantik, tapi praktikal dan selesa untuk digunakan setiap hari.

Tapi hakikatnya, ramai pemilik rumah akhirnya kecewa selepas proses renovasi selesai.

Apa yang nampak sempurna di atas kertas, rupanya penuh dengan kekurangan bila digunakan dalam kehidupan sebenar.

BACA LAGI: Mengapa sebegitu mudah cinta suami berubah? Pudarnya kasih sayang, kesan hati mulai menjauhi Tuhan

BACA LAGI: Impikan 'destination wedding'? Ini senarai kos, siapa patut bayar

Perkongsian daripada Zalya Zahari di media sosial mendedahkan penyesalan-penyesalan yang biasa berlaku selepas renovasi dapur, dari pemilihan sinki sehinggalah kepada jenis material yang digunakan.

Berikut antara kesilapan paling biasa yang ramai alami selepas siap renovasi, supaya anda tidak mengulang kesilapan sama.

Sinki hitam mudah kelihatan lusuh. Gambar Hiasan

1. Sinki warna hitam

Nampak moden dan elegan pada awalnya, tetapi sinki hitam mudah nampak kotor, cepat pudar dan akan timbul tompok putih yang sukar hilang jika tidak dijaga betul-betul.

Ramai mengadu, walaupun kerap dibersihkan, kesan air, sabun dan minyak tetap melekat.

Selepas beberapa bulan, sinki kelihatan lusuh dan kurang menarik ia jauh dari rupa asal semasa baru dipasang.

Twist tap ukar digunakan jika tangan berminyak atau basah. Gambar Hiasan

2. Sinki jenis pulas (twist tap)

Rekaan sinki jenis pemulas mungkin nampak eksklusif, tetapi sebenarnya menyusahkan dan tidak praktikal.

Komponen cepat rosak dan sukar digunakan jika tangan berminyak atau basah.

Seorang pemilik rumah berkongsi, setiap kali masak dan tangan kotor, dia terpaksa lap tangan sebelum boleh pulas air 'twist tap' juga menyusahkan kerja dapur.

Antara material yang disarankan oleh Zalya ialah Nyatoh, MDF, HPL, 4G Glass dan Melamine. Arizzu Design

3. Pemilihan material kabinet

Material kabinet sangat penting untuk ketahanan jangka panjang.

Banyak yang menyesal ambil material murah nampak cantik, tapi cepat rosak.

Antara material yang disarankan oleh Zalya ialah Nyatoh, MDF, HPL, 4G Glass dan Melamine.

Pengguna yang menggunakan material selain itu berkongsi pintu kabinet cepat tercabut, kemek dan calar selepas setahun dua.

Compressed Quartz tidak tahan lasak. — Gambar Hiasan

4. Table top dari compressed quartz

Walaupun lebih murah berbanding batu kuarza sebenar, Compressed Quartz tidak tahan lasak, mudah terkesan dengan bahan basah berwarna seperti kunyit dan kicap.

Seorang pengguna berkongsi, selepas 5 tahun, corak marmar terus hilang, kesan kuning kekal dan permukaan meja mula merekah.

Pengguna itu pula terpaksa menanggung kos kerugian apabila kena tukar bahan baharu.

Khidmat ID menawarkan harga terlalu murah antara perkara yang perlu disemak.  Gambar Hiasan

5. Ditipu ID tentang material

Ada kes yang mana Interior Designer (ID) berjanji nak guna bahan berkualiti seperti Quartz Stone, tetapi sebenarnya pasang bahan murah seperti Compressed Quartz.

Bila harga terlalu murah, pemilik rumah mula curiga.

Selepas disemak, baru tahu material sebenar yang dipasang tak sama dengan dijanjikan.

Dapur moden guna banyak peralatan elektrik serentak. — Gambar Hiasan

6. Plug point tak cukup atau terlalu tinggi

Ramai terlepas pandang betapa pentingnya 'plug point' yang cukup dan diletak pada ketinggian sesuai.

Dapur moden guna banyak peralatan elektrik serentak.

Ada yang hanya letak dua plug point dan apabila nak guna 'ice cooker, pengisar dan air fryer sekali gus terus pening kepala.

Lantai matte tidak sesuai untuk digunakan di dapur.  Gambar Hiasan

7. Guna mozek 'matte finish'

Lantai matte memang nampak estetik, tapi ramai tak selesa bila pija kerana ada yang rasa kasar, berpasir, dan cepat nampak kotor.

Bila masak lama di dapur, kaki rasa tak selesa pijak lantai dan akhirnya, kena pakai alas kaki sepanjang masa sukar dan tidak praktikal.

Exhaust fan berfungsi mengeluarkan segala haba dan bau semasa memasak.  Gambar Hiasan

8. Tiada 'exhaust fan'

Tanpa exhaust fan, haba dan bau masakan berkumpul dalam rumah lebih terasa waktu masak makanan berminyak atau pedas.

Rumah terasa panas walaupun ada kipas siling, selepas pasang 'exhaust fan' dekat tingkap, baru rasa lega.

Bau makanan pun tak lekat lama dalam rumah.

'Hidden plug' sangat membantu untuk dapur nampak kemas dan minimalis.  Gambar Hiasan

9. Tak buat 'hidden plug'

'Hidden plug' sangat membantu untuk dapur nampak kemas dan minimalis.

Bila perlu baru tekan keluar, lepas guna terus tutup paling penting tiada lagi wayar berselirat.

Pemilik rumah yang ada 'island table' atau kabinet kayu, hidden plug sangat berguna.

Ramai yang tak buat dari awal, kemudian menyesal sebab nak pasang semula perlukan kos dan ubahsuai.

 

 

Renovasi dapur bukan sekadar tentang rupa yang cantik kerana ia perlu praktikal, tahan lama dan selesa digunakan setiap hari.

Ambil pengajaran daripada perkongsian oleh Zalya kerana kesilapan kecil hari ini, boleh jadi beban besar esok hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram