
SEBUAH rumah bukan sekadar ruang fizikal tapi ia adalah lanjutan kepada personaliti, gaya hidup dan perjalanan hidup pemiliknya.
J House, hasil rekaan arkitek Malaysia, Oscar Tan daripada OTCQ Architects, adalah lambang kesempurnaan kepada falsafah ini.
Rumah berkembar moden tiga tingkat di Kuala Lumpur itu telah diubah menjadi kediaman yang dipenuhi dengan hubungan visual.
BACA LAGI: Nampak cantik tapi buat ramai menyesal, 9 kesilapan renovasi dapur patut tahu
BACA LAGI: Mengapa sebegitu mudah cinta suami berubah? Pudarnya kasih sayang, kesan hati mulai menjauhi Tuhan
Sama ada ia baik secara melintang mahupun menegak yang mana setiap elemen reka bentuk mempunyai fungsi melangkaui estetika semata-mata.
"Setiap rumah ada cerita dan rumah ini mencerminkan pemiliknya (yang mahu dikenali sebagai J), seorang usahawan muda yang meminati seni bina, fotografi, aktiviti panjat tebing dan bersosial.
"Ia bukan sekadar tempat tinggal, tetapi ruang yang secara aktif berinteraksi dengan gaya hidupnya, berkembang seiring dirinya.
"Daripada reka bentuk pelan terbuka sehinggalah integrasi dinding panjat tebing, sauna dan ruang hiburan, J House ialah persekitaran dinamik yang menggalakkan pergerakan, interaksi dan pertumbuhan peribadi," jelas Tan
Ia bukan sekadar tentang komunikasi lisan. Ia mengenai hubungan visual. Awak tahu awak di sana, saya di sini, dan kita bersama dalam ruang ini, kata Tan, arkitek bagi Rumah J.
Apabila J memutuskan untuk membeli rumah, dia tidak mencari produk siap. Sebaliknya, dia mencari rumah lama yang berpotensi untuk dibentuk menjadi sesuatu yang unik dan peribadi.
"Ia seperti menggilap batu permata mentah," katanya.
Visi itu mendorongnya bekerjasama dengan Tan sejak awal lagi, bahkan sebelum pemilihan rumah dilakukan.
Mereka bersama-sama mengenal pasti rumah yang mempunyai struktur kukuh dan susun atur menarik, walaupun menampilkan beberapa cabaran.
"Rumah asal mempunyai bahagian dalam yang gelap dan tertutup serta tangga tengah membahagikannya kepada empat kuadran.
"Daripada meroboh dan membina semula, kami mengambil pendekatan menerima kekangan tersebut dan menggunakannya sebagai asas untuk solusi kreatif baharu," jelas J.
Teres bumbung luar adalah tempat yang sempurna untuk menikmati kopi pagi, menyaksikan matahari terbenam atau menonton bunga api pada acara istimewa.
Sebagai contoh, tangga asal dijadikan ciri utama reka bentuk untuk diraikan dan bukan disembunyikan.
J menyepadukannya dengan arca keluli yang berakhir dengan bunga di bahagian atas, melambangkan pertumbuhan dan transformasi peribadi.
Salah satu elemen paling menarik di J House ialah penyepaduan ruang yang lancar.
"Walaupun mengekalkan tangga sebagai tumpuan, kami membuka ruang rumah ini, membenarkan cahaya masuk ke laman dalaman melalui skylight baharu," kata Tan.
Skylight itu membanjiri rumah dengan cahaya semula jadi, manakala skrin logam berlubang membolehkan pengudaraan dan melembutkan penampilan struktur.
Dinding panjat batu yang boleh dilihat dari pelbagai aras membolehkan ahli keluarga dan tetamu berinteraksi antara satu sama lain walaupun tanpa berkata apa-apa.
Rumah kini ‘bernafas’ dan bersatu dengan persekitaran sekeliling sambil mengekalkan privasi.
Satu lagi penambahan penting ialah lif luaran yang direka demi masa depan.
"Semua orang akan menjadi tua suatu hari nanti dan ayah saya kini sudah tua dan menggunakan kerusi roda.
“Saya mahu rumah ini mudah diakses oleh beliau," kongsi J.
Lif yang menggantikan pintu utama itu adalah sambungan baharu kepada rumah tersebut.
Ia dihubungkan melalui jambatan logam ke setiap aras rumah dan sejajar dengan tema utama rumah.
Malah, tanjakan kerusi roda di luar juga berfungsi sebagai laluan untuk membawa peralatan dan barangan.
Meja pingpong yang juga berfungsi sebagai meja snuker di ruang hiburan menawarkan hiburan tanpa henti selama berjam-jam.
Gaya hidup aktif
Rumah J adalah manifestasi kepada kepercayaannya bahawa sebuah rumah harus berkembang bersama minat dan gaya hidup pemiliknya.
Direka untuk pergerakan, elemen visual yang paling ketara dalam rumah itu ialah dinding panjat tebing di dalam rumah.
Berbeza dengan dinding bouldering ringkas yang boleh dipasang di mana-mana rumah, sistem itu dilengkapi 'auto-belay' dan kelengkapan keselamatan untuk sesi panjat maksimum
"Ia masih dalam proses.
"Tapi bila siap nanti, ia akan setanding dengan mana-mana gim panjat tebing profesional," kongsi J.
Tingkat tiga, yang dahulunya bilik tidur, telah diubah menjadi ruang hiburan terbuka menghadap latar belakang hutan secara mengejut, menawarkan privasi daripada kejiranan.
Meja dua dalam satu (ping pong dan pool), sauna dan teres bumbung luar menjadikan ruang ini sesuai untuk bersantai atau menjamu rakan selepas seharian bekerja.
“Kali pertama saya melihat rumah ni, saya terus fikir tentang di mana boleh bina dinding panjat tebing. Lepas tu datanglah idea untuk sauna, ruang hiburan dan teres luar.”
Arca bunga logam merah itu melambangkan pertumbuhan dan transformasi diri.
Gabungan bentuk dan fungsi
Walaupun J House tampil berani dan kontemporari, ia tetap praktikal.
Dengan iklim tropika Malaysia, pengurusan haba menjadi isu penting terutamanya di bilik utama yang menghadap barat.
"Penyelesaian yang kami pilih ialah fasad dua lapis menggunakan logam berlubang merah, elemen yang menyerlah dan juga berfungsi.
"Ciri itu mewujudkan ruang udara penebat yang mengurangkan pemindahan haba, mengekalkan suhu dalaman sejuk sambil memberikan pemandangan matahari terbenam tanpa halangan," kata Tan.
Pemilihan bahan pula mencerminkan keseimbangan antara estetika dan praktikaliti.
Penggunaan keluli secara dominan terutamanya dalam arca tangga, jambatan, kawasan laluan dan skrin memberikan nuansa kontemporari dan minimalis.
“Kayu jarang digunakan dalam reka bentuk minimalis, dan kaca pula sukar diselenggara,” jelas Tan.
“Logam atau keluli memberikan fleksibiliti, ketahanan dan identiti visual yang kuat.”
Lebih daripada sekadar hasil seni bina, J House membawa naratif mendalam.
Tangga tengah, yang tidak boleh dielakkan setiap hari, menjadi metafora perjalanan hidup dengan laluan yang mesti ditempuh, satu anak tangga demi satu, kata Tan.
Arca bunga logam di bahagian atas berfungsi sebagai peringatan bahawa pertumbuhan dan transformasi datang melalui pergerakan dan ketekunan, tambahnya.
Reka bentuk ruang rumah juga menguatkan tema hubungan.
Dinding panjat tebing yang boleh dilihat dari beberapa aras membolehkan ahli keluarga dan tetamu berinteraksi walau tanpa berbicara.
"Ia bukan sekadar komunikasi lisan.
“Ia tentang hubungan visual. Kamu tahu kamu di sana, saya di sini, dan kita bersama-sama dalam ruang ini," jelas Tan.
Jambatan keluli merah menghubungkan lif rumah ke setiap tingkat.
Penyelenggaraan minimum
Di sebalik reka bentuknya yang berani dan kompleks, J House mengejutkan kerana memerlukan penyelenggaraan minimum.
Landskapnya, contohnya direka untuk mudah diselenggara dengan sistem penyiram automatik dan pemilihan tumbuhan yang tidak banyak gugur daun, katanya.
Teres bumbung, tempat J menikmati kopi pagi, menawarkan pemandangan menakjubkan latar langit kota dan merupakan lokasi ideal untuk menyaksikan bunga api pada acara khas.
Kecekapan tenaga rumah itu juga menjadi kebanggaan.
Kesan cerobong yang dipermudahkan oleh skylight, secara semula jadi menyejukkan rumah dengan membenarkan udara panas naik dan keluar.
Pengudaraan silang daripada dinding berlubang menambah keselesaan dan mengurangkan kebergantungan kepada sistem penyejukan mekanikal, terang Tan.
Lebih daripada struktur pegun, J House ialah ruang hidup yang terus berkembang seiring pemiliknya.
"Sebuah rumah tidak sepatutnya menjadi produk akhir apabila diserahkan kepada pelanggan.
“Ia sepatutnya permulaan kepada satu perjalanan, dan perlu ada ruang untuk berkembang dan berubah," kata Tan.
Falsafah itu jelas terpancar dalam setiap aspek rumah miliknya daripada ruang fleksibel sehinggalah peningkatan berterusan seperti penyempurnaan dinding panjat dan penambahbaikan ruang hiburan serta ruang tamu.
J sendiri menyambut baik pendekatan itu.
"Saya mahukan rumah projek sesuatu yang boleh saya bentuk dari semasa ke semasa.”
Pendekatan itu menghasilkan kediaman yang amat peribadi tetapi juga cukup menginspirasikan.
Ini kerana rumah menjadi tempat perlindungan dan juga pentas untuk pengembaraan hidup yang berterusan.
Rekaan yang penuh pertimbangan itu menjadikan J House cerminan kepada nilai dan aspirasi pemiliknya.
"Ia bukan sekadar dinding, lantai dan siling. Ia mengenai pergerakan, hubungan dan transformasi; karya agung yang terus berkembang dan bercerita dari hari ke hari,” simpul Tan. — The Star/MING TEOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram