
"DARIPADA busuk dan terbiar, kini jadi kediaman idaman."
Itulah ungkapan pemilik rumah Yad Zahari yang berjaya mengubah sebuah rumah lama menjadi ‘modern cottage’ serba indah cukup tenang, bersih dan menyejukkan jiwa.
Dalam suasana masyarakat kini yang semakin menghargai keaslian dan ketenangan dalam kediaman, konsep 'modern cottage' bukan lagi hanya trend luar negara, malah mula menawan hati rakyat Malaysia.
BACA LAGI: [VIDEO] Sesat di stesen tren KL, pelancong China terharu dibantu pakcik baik hati
Reka bentuknya yang ringkas tetapi elegan, suasana seakan di perkampungan Eropah dan gabungan moden serta tradisional menjadikan gaya itu pilihan ideal bagi mereka yang mahu lari daripada kekusutan bandar dan pulang ke ruang yang lebih damai walaupun masih di tengah-tengah kawasan perumahan biasa.
Perkongsian video transformasi itu di Facebook miliknya berjaya mencuri perhatian ramai yang terinspirasi dengan hasil renovasi menyeluruh tersebut.
Dalam kapsyen video, Yad menulis: "From abandoned and smelly to serene and soulful. Alhamdulillah, i dah officially masuk rumah @archville18 sejak Jumaat lepas. I baru dapat full kunci dari contractor tiga hari lepas dan dah mula start tidur sini dah. Syukur, siap juga rumah ni walau penantiannya sakit menyakitkan."
Rumah satu tingkat yang dibina di atas tanah lot itu mengetengahkan ciri-ciri reka bentuk 'modern cottage' — Yad Zahari
Impi konsep 'modern cottage'
Rumah satu tingkat yang dibina di atas tanah lot itu mengetengahkan ciri-ciri reka bentuk 'modern cottage' kombinasi warna putih bersih dan elemen kayu natural, tingkap dan pintu melengkung, serta bumbung kelabu klasik yang menyerlahkan gaya minimalis elegan.
Kawasan laluan hadapan pula menggunakan susunan batu blok yang menambah elemen tekstur kepada ruang luar rumah.
Pintu kayu melengkung berganda menjadi titik tumpuan utama di bahagian hadapan, dilengkapi pelindung kaca moden yang memberikan perlindungan daripada hujan sambil mengekalkan estetika anggun.
Ruang parkir juga cukup luas, lengkap dengan kereta BMW berwarna merah jambu terang yang turut menarik perhatian.
Yad turut menyatakan, walaupun rumah sudah siap sepenuhnya dan telah mula berpindah masuk, masih ada beberapa perkara yang belum diselesaikan antaranya pemilihan jubin dapur yang masih dalam proses.
Bermula dari kosong
Menurut Yad, transformasi itu bukan sahaja mengambil masa dan wang, malah menguji kesabaran, namun hasil akhir yang diperoleh amat memuaskan hati.
"Rumah masih kosong, kita mula balik dari zero," tulisnya, memberi bayangan bahawa proses menghias dan melengkapi kediaman itu masih dalam kerja-kerja renovasi.
Kos renovasi
Untuk transformasi menyeluruh gaya rumah 'modern cottage' termasuk kerja-kerja membaik pulih struktur, pemasangan semula sistem elektrik, paip, ubah suai fasad dan reka bentuk dalaman kos renovasi untuk rumah satu tingkat di Malaysia boleh mencecah antara RM250,000 hingga RM400,000, bergantung kepada keadaan asal rumah, bahan yang digunakan dan tahap kemasan.
Bagi rumah teres satu tingkat biasa yang ingin menjalani ubah suai penuh seperti rumah Yad Zahari, pemilik perlu menyediakan bajet minimum sekitar RM150,000 untuk kerja asas, manakala tambahan kos akan diperlukan untuk ciri eksklusif seperti pintu khas, kemasan siling, pencahayaan artistik dan landskap halaman.
Perkongsian Yad menjadi inspirasi buat mereka yang sedang dalam proses membina atau mengubah suai rumah.
"Walaupun perjalanan mungkin panjang dan mencabar, hasilnya pasti memberi kepuasan apabila segala penat lelah akhirnya berbaloi," kongsi Yad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram