
TIDAK semua orang berpeluang menamatkan persekolahan seperti yang dirancang, namun itu tidak bermakna jalan ke depan sudah tertutup.
Dalam hidup, kadangkala kita perlu berpatah balik untuk menyambung semula langkah yang pernah terhenti bukan demi orang lain, tetapi demi diri sendiri.
Inilah yang sedang dirasai oleh seorang wanita berusia 27 tahun yang berkongsi kisahnya secara terbuka di platform Threads.
BACA LAGI: Kediaman ‘modern cottage’, transformasi mengagumkan rumah lama bertukar kontemporari
Pada usia 16 tahun, dia terpaksa meninggalkan sekolah dan tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjadi kelayakan akademik tertingginya, sebelum memilih untuk meneruskan hidup dengan mempelajari kemahiran jahitan dan rekaan fesyen.
Kini, lebih sedekad kemudian dia mula merasakan kekosongan yang pernah ditinggalkan itu.
Dalam perkongsiannya, dia menyuarakan hasrat untuk mengambil semula peperiksaan SPM bukan demi menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Tetapi untuk kepuasan peribadi dan keinginan memperbaiki peluang kerjaya.
Sijil SPM masih menjadi syarat utama dalam banyak permohonan. — Gambar Hiasan
Dia meluahkan bahawa meskipun memiliki pengalaman dan kemahiran, ketiadaan sijil SPM sering menjadi penghalang dalam pasaran kerja hari ini.
Sama ada sektor kerajaan mahupun swasta, keperluan asas seperti sijil SPM masih menjadi syarat utama dalam banyak permohonan.
Namun apa yang mengejutkan, luahannya tidak menerima kritikan atau cemuhan seperti yang sering terjadi dalam media sosial.
Sebaliknya, ramai rakyat Malaysia tampil memberikan sokongan penuh, lengkap dengan nasihat, maklumat dan kata-kata semangat untuk membantu wanita itu merealisasikan impiannya.
Ramai rakyat Malaysia tampil memberikan sokongan penuh. — Gambar Hiasan
Dalam kalangan yang memberikan komen, ada yang berkongsi pengalaman mereka sendiri sebagai calon persendirian, memberikan maklumat tentang kos pendaftaran, cabaran subjek, dan keperluan untuk mendapatkan bimbingan melalui kelas tuisyen.
Mereka turut menjelaskan bahawa seseorang calon persendirian perlu mengambil enam subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam, serta dibenarkan memilih subjek elektif berdasarkan minat masing-masing.
Ada yang menyarankan Seni Visual sekiranya dia berbakat dalam lukisan, atau subjek seperti Perniagaan dan Ekonomi supaya dapat membantunya menguruskan jenamanya sendiri suatu hari nanti.
Beberapa pengguna media sosial lain turut berkongsi pautan rasmi pendaftaran peperiksaan SPM dan mengingatkannya bahawa pendaftaran untuk sesi 2026 hanya akan dibuka tahun hadapan.
Justeru, tempoh masa yang ada sekarang amat sesuai untuk membuat persiapan awal agar tidak berasa tertekan apabila tiba masanya nanti.
Namun di sebalik semua maklumat dan langkah teknikal yang dikongsikan, apa yang benar-benar menonjol adalah semangat rakyat Malaysia yang bersatu memberikan galakan kepada seorang wanita yang berani memulakan langkah semula.
Dalam dunia yang sering pantas menghakimi, perkongsian wanita itu menjadi peringatan bahawa masih wujud ruang empati, dorongan dan solidariti di kalangan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram