
MENYEDIAKAN meja makan yang kemas dan tersusun bukan sekadar soal estetika, ia juga mencerminkan layanan dan penghargaan buat para tetamu.
Walaupun dalam dunia moden serba pantas ini ramai menganggap penyusunan meja bukan lagi perkara penting, hakikatnya ia mampu mencipta suasana yang lebih menyenangkan, terutamanya dalam majlis bersama keluarga dan rakan terdekat.
Sama ada anda sedang menyediakan makan malam biasa, menjadi tuan rumah untuk majlis santai seperti sambutan ulang tahun, atau merancang jamuan makan malam formal seperti perayaan atau acara rasmi mengetahui cara menyusun meja dengan betul akan membantu anda tampil lebih bersedia dan yakin.
BACA LAGI: Tona lampu pencetus mood, ketahui gaya pencahayaan paling berkesan untuk setiap ruang kediaman
Artikel ini akan menerangkan tiga jenis susun atur meja makan utama iaitu tetapan asas, kasual dan formal.
Setiap bahagian disertakan dengan panduan langkah demi langkah agar mudah difahami dan diikuti.
Untuk memudahkan anda, kami turut sertakan rajah susun atur meja bagi setiap kategori agar dapat memahami susunan kedudukan pinggan, sudu, garfu dan serbet.
Meja yang tersusun rapi juga boleh menjadikan makanan kelihatan lebih menyelerakan.
Pentingnya susun atur
Anda mungkin tertanya, “Kenapa perlu susah payah letak pinggan dan sudu ikut aturan? Rasa makanan tetap sama!”
Tapi sebenarnya, cara susun atur itu menunjukkan kepada tetamu bahawa anda menghargai kehadiran mereka.
Ia memberi isyarat bahawa makan bersama itu satu penghormatan, bukan sekadar rutin harian.
Selain itu, meja yang tersusun rapi juga boleh menjadikan makanan kelihatan lebih menyelerakan.
Infografik penyusunan pinggan, sudu, garfu bagi susun atur meja asas.
1. Susun atur meja asas
Jika anda sedang menyediakan makan malam harian atau sarapan hujung minggu, susun atur asas ini sudah memadai.
Untuk acara santai, anda hanya perlukan: alas meja individu (placemat), pinggan makan, serbet, sudu, garfu, pisau dan gelas air.
Langkah-langkah:
1. Letakkan alas meja di atas meja.
2. Letakkan pinggan makan di tengah alas meja.
3. Letakkan serbet di sebelah kiri pinggan.
4. Letakkan garfu di atas serbet.
5. Di sebelah kanan pinggan, letakkan pisau paling hampir dengan pinggan (mata pisau menghadap ke dalam), kemudian letakkan sudu di sebelah kanan pisau.
6. Letakkan gelas air sedikit di atas pinggan, di antara pinggan dan peralatan makan mengikuti posisi jam pukul satu.
Etika meja asas
Anda juga boleh meletakkan serbet di atas pinggan jika mahu suasana lebih formal.
Gambaran penyusunan pinggan, sudu, garfu bagi susun atur meja kasual.
2. Susun atur meja kasual
Susun atur meja kasual sesuai untuk majlis kecil, makan malam bersama rakan atau keluarga.
Ia hampir sama dengan susun atur asas, tetapi ditambah dengan pinggan salad dan mangkuk sup (jika perlu).
Langkah-langkah:
1. Letakkan alas meja.
2. Letakkan pinggan makan di tengah.
3. Letakkan pinggan salad di atas pinggan makan.
4. Jika bermula dengan hidangan sup, letakkan mangkuk sup di atas pinggan salad.
5. Letakkan serbet di sebelah kiri pinggan.
6. Letakkan garfu di atas serbet.
7. Di sebelah kanan pinggan, letakkan pisau (paling hampir dengan pinggan), kemudian sudu.
8. Letakkan gelas air di atas pisau.
9. Letakkan gelas wain (atau gelas minuman lain) sedikit ke kanan dan atas gelas air.
Etika meja kasual
Jika menggunakan set garam dan lada untuk setiap tetamu, letakkan di bahagian atas alas meja mereka.
Jika berkongsi, letakkan di tengah meja atau di setiap hujung meja panjang.
Gambaran penyusunan pinggan, sudu, garfu bagi susun atur meja formal.
3. Susun atur meja formal
Jika anda menjadi tuan rumah makan malam elegan atau jamuan tiga hidangan, susun atur formal ini sesuai.
Ia melibatkan lebih banyak komponen dan lebih teratur.
Langkah-langkah:
1. Letakkan kain alas meja (telah digosok) di atas meja.
2. Letakkan pinggan alas (charger) di setiap tempat duduk.
3. Letakkan mangkuk sup di tengah pinggan alas.
4. Letakkan pinggan roti di sebelah atas kiri pinggan alas (antara posisi jam 10 dan 11).
5. Letakkan serbet di sebelah kiri pinggan alas.
6. Di kiri pinggan alas: letakkan garfu salad di sebelah luar, dan garfu makan di sebelah dalam (dekat pinggan).
7. Di kanan pinggan alas: letakkan pisau paling hampir dengan pinggan (mata ke dalam), kemudian sudu sup.
8. Di atas pinggan roti, letakkan pisau mentega secara melintang, mata ke dalam dan pemegang ke kanan.
9. Di atas pinggan alas, letakkan sudu pencuci mulut (menghala ke kanan).
10. Di atas pisau: letakkan gelas air. Sedikit ke kanan dan bawahnya: gelas wain putih. Di kanan dan atas gelas wain putih: gelas wain merah.
11. Jika menggunakan kad nama tetamu, letakkan di atas sudu pencuci mulut.
Etika meja formal
Selepas sup dihidang dan dikemas, pinggan salad akan menggantikan tempat mangkuk sup.
Pinggan alas akan kekal hingga tiba hidangan utama atau boleh dikeluarkan sebelum itu bergantung kepada keselesaan anda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram