Kurang minat kahwin di hotel, pasangan muda kini lebih gemar majlis persandingan DIY


  • Massa
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Majlis perkahwinan DIY adalah lebih jimat berbanding menggunakan perkhidmatan 'wedding planner' atau menyewa ruang khusus. — Gambar hiasan/Freepik

RAMAI pasangan muda mengeluh tentang bajet perkahwinan yang semakin meningkat, menyebabkan mereka mencari alternatif lebih murah dan praktikal.

Majlis kahwin secara DIY (Do It Yourself) yang diuruskan sendiri tanpa melibatkan perancang perkahwinan profesional semakin mendapat tempat.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti di laman media sosial, mereka cenderung memilih majlis yang lebih ringkas, bersifat peribadi dan menjimatkan.

BACA LAGI: Satu-satunya menantu perempuan, aktres Hong Kong terima hadiah lebih RM1.1 bilion dari bapa mentua

BACA LAGI: Panduan ibu hamil, ketahui 10 istilah perubatan dalam 'buku pink'

Ramai berkongsi di media sosial mengenai cara menyediakan 'doorgift' atau bingkai mas kahwin sendiri. — TikTok

Dewan hotel yang dahulunya menjadi lokasi utama untuk majlis perkahwinan semakin ditinggalkan.

Sebaliknya, lokasi lain seperti pusat komuniti, dewan masyarakat, rumah sendiri dan juga lokasi luar biasa seperti tepi pantai menjadi pilihan.

Contohnya, pasangan selebriti Eyka Farhana dan Akhyar Rashid memilih untuk melangsungkan majlis resepsi mereka di tepi pantai.

Walaupun menggunakan khidmat wedding planner, pilihan lokasi sedemikian menunjukkan bagaimana konsep majlis kini berkembang ke luar dewan tradisional dan hotel.

Seiring dengan perubahan lokasi majlis, cara pengurusan dan persiapan majlis turut berubah untuk menyesuaikan diri dengan bajet dan gaya hidup masa kini.

Antara aspek yang boleh menjimatkan adalah pelamin, papan sambutan dan doorgift yang dihasilkan sendiri atau disewa untuk dipasang sendiri oleh pengantin.

Lebih menarik, pelamin misalnya, kini banyak disediakan melalui perkhidmatan sewaan yang hanya menghantar set pelamin ke rumah dan pengantin akan memasangnya sendiri.

Selain itu, papan sambutan atau welcome board turut direka dan dicetak sendiri menggunakan perisian percuma seperti Canva.

Ada juga yang memilih untuk menulis sendiri welcome board menggunakan pen marker di atas cermin menjadikannya lebih peribadi dan jimat.

Cenderamata atau doorgift juga tampil lebih unik dan mesra bajet. Antaranya termasuk mini bunga, sabun wangi buatan tangan serta makanan ringan khas untuk kanak-kanak seperti gula-gula dan biskut beraneka warna.

Eyka Farhana memilih untuk melangsungkan majlis resepsinya di tepi pantai. — Instagram/@eykafarhana

Tidak ketinggalan, bingkai mas kahwin juga dibuat sendiri dengan hiasan bunga, renda dan rekaan khas menggunakan bingkai gambar biasa yang diubah suai.

Media sosial seperti TikTok dan Instagram khususnya menjadi sumber inspirasi utama, memaparkan ratusan video pendek yang menunjukkan proses pasangan muda merancang dan menghias majlis mereka dari awal hingga akhir.

Fenomena itu sekali gus memberi pengalaman lebih menyeronokkan dan bermakna kerana dilakukan sendiri bersama keluarga dan rakan terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram