
SELEPAS sekian lama tidak muncul di khalayak, kerinduan peminat Datin Seri Camelia Khan terubat selepas penampilan terkininya dikongsi jurusolek terkenal, Najeeb Azmi menerusi laman Instagram.
Gambar tersebut memaparkan figura ikonik itu dalam gaya yang anggun dan penuh kelas, seiring dengan reputasinya sebagai antara selebriti tanah air yang sentiasa tampil bergaya.
Menariknya, walaupun kini berusia 51 tahun, beliau masih mengekalkan kejelitaan dan daya tarikannya yang seakan tidak dimamah usia.
BACA LAGI: KKM sasar sifar kes denggi, ibu hamil disaran beri suntikan vaksin anak seawal usia 4 tahun
BACA LAGI: Kenali 3 wanita diceraikan tetapi memiliki kedudukan mulia di sisi TUHAN
Dalam perkongsian itu, beliau mengenakan busana merah jambu dengan rekaan ‘puff’ pada bahagian bahu sehingga ke siku, menyerlahkan aura glamor yang sinonim dengan dirinya
Sentuhan gincu merah terang, rambut yang diikat kemas serta sepasang subang besar berwarna keemasan bertatahkan permata hitam melengkapkan penampilan beliau.
"Makeup by yours truly," tulis ringkas Najeeb dalam ruangan kapsyen.
Reaksi warga maya di ruangan komen membuktikan bahawa pesona Camelia masih kekal di hati peminat meskipun lama tidak muncul di pentas hiburan.
“Masya-ALLAH lawanya. Pernah jumpa depan-depan, memang penampilannya tampak eksklusif,” tulis @tyraremy.
“Dulu kini dan selamanya begitu sahaja rupanya. Cantik betul,” ujar @reenrazrina.
“20 tahun lepas pun tengok beliau macam tak menua langsung. Lawanya, sangat elegan!,” komen @nurulafni.
“Lama tak dengar berita Datin Seri Camelia, come back!,” kata @dyamardianaofficial.
Sekadar info, Camelia, atau nama sebenarnya Dayang Nur Camelia Abang Khalid mula mencipta nama pada akhir 1990-an sebagai penyanyi dan model.
Beliau juga pernah merangkul dua anugerah utama menerusi album sulungnya yang dinamakan sempena namanya sendiri, Camelia, apabila dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik dan memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik di Anugerah Industri Muzik Malaysia pada tahun 1998.
Selain bergelar penyanyi, beliau juga dikenali dalam dunia peragaan dan menjadi wajah kepada beberapa jenama antarabangsa terkemuka.
Dari segi kehidupan peribadinya, beliau pernah berkahwin dengan Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce namun hubungan itu berakhir dengan perceraian pada tahun 1999.
Beliau kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama seorang tokoh korporat terkenal, Datuk Seri Akhbar Khan dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Aisha Asmara Khan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram