
DALAM usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dan menangani cabaran sosial serantau, Malaysia dan Turkiye kini melangkah ke hadapan dengan cadangan kerjasama strategik yang lebih menyeluruh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu hantaran di Facebook berkongsi perkembangan positif hasil pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Turkiye, Menteri Perkhidmatan Keluarga dan Sosial Turkiye, Mahinur Özdemir Göktaş.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk penurunan kadar kelahiran dan perubahan struktur keluarga moden iaitu cabaran global yang kini turut memberi kesan kepada dua negara ini.
BACA LAGI: Pilihan 'reinvented' klasik hingga moden, 6 beg tangan jadi aksesori sempurnakan gaya wanita
“Kami turut berkongsi amalan terbaik termasuk insentif kepada pasangan baru berkahwin dan ibu bapa di Turkiye, serta inisiatif Malaysia seperti skim simpanan kelahiran dan usaha memperkukuh institusi perkahwinan," kata Nancy.
Lebih penting, Malaysia mengusulkan penubuhan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperluas kerjasama merangkumi pelbagai aspek sosial termasuk dasar kekeluargaan inklusif, pemerkasaan digital wanita dan penjagaan komuniti untuk kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Langkah proaktif itu dilihat sebagai inisiatif strategik menjelang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus mencerminkan komitmen negara untuk menerajui agenda pembangunan sosial serantau yang lebih inklusif dan mampan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram