
JIKA kebanyakan majlis perkahwinan memilih doorgift seperti manisan atau barangan cenderahati kecil, berbeza pula dengan sebuah majlis di Indonesia yang tampil dengan konsep luar biasa iaitu berbelanja sayur sebagai tema perkahwinan.
Menerusi sebuah hantaran di laman media sosial, seorang wanita merakam pengalaman uniknya ketika menghadiri majlis perkahwinan rakan.
Dalam video yang dimuat naik, kelihatan seorang ahli keluarga pengantin memberikan beg anyaman kepada setiap tetamu yang hadir.
Lebih mengujakan, di sebelah meja doorgift itu turut disediakan sebuah meja panjang yang penuh dengan pelbagai jenis sayur-sayuran segar.
Para tetamu dibenarkan memilih sendiri sayur-sayuran pilihan mereka lalu mengisinya ke dalam beg anyaman berkenaan.
Antara sayuran yang disediakan termasuk lobak merah, tomato, terung, sawi dan pelbagai lagi hasil kebun segar.
Rakaman turut memperlihatkan suasana ceria para tetamu wanita yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama souvenir berisi sayur sambil tersenyum gembira.
Kreativiti pasangan pengantin itu mendapat pelbagai reaksi positif warga maya yang rata-rata memuji konsep mesra alam dan bermanfaat yang diketengahkan.
"Terpulang pada jemputan kawan-kawan. Jika jemputan hanya untuk orang muda selamat. Kalau untuk ibu secara amnya, mereka akan ambil dua bakul penuh untuk buat stok di rumah," kata Ubae.id.
"Perkahwinan yang paling unik. Semua tetamu jemputan bergembira kerana pulang dengan membawa sayur. Semoga menjadi inspirasi kepada bakal pengantin yang lain," kata Ucunurasiyah.
"Salah satu souvenir yg bermanfaat," kata Fike Hidayat.
"Takutnya bukan ambil seperlunya tapi malah ambil semaunya dan sebanyak-banyaknya," kata Inayyah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram