
AWAL disangka batuk biasa, tetapi akhirnya membawa kepada penemuan mengejutkan dan berbahaya.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengalami kesukaran menelan dan muntah selama lima hari berturut-turut.
Dua kali didiagnosis dengan jangkitan pernafasan, namun tiada sebarang perubahan pada keadaannya sehinggalah imbasan sinar-X mendedahkan punca sebenar berpunca daripada sebiji bateri butang tersangkut dalam esofagus.
Bateri litium bersaiz 20mm itu telah menyebabkan ulser pada dinding esofagus, mengakibatkan kecederaan serius yang memerlukan rawatan intensif, termasuk pemakanan melalui tiub sepanjang tempoh hospitalisasi.
Kes itu dilaporkan dalam kajian bertajuk Delayed Presentation Of Button Battery Ingestion In A Six-Year-Old Girl oleh Jabatan Otorinolaringologi, Hospital Shah Alam, Shah Alam, Selangor dan ia bukanlah satu kes terpencil.
Dr. Yee Ming berkata, jika bateri tersangkut pada saluran pernafasan, ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
Risiko bateri butang
Menurut Pakar Perunding Pediatrik, Dr. Wong Yee Ming, kejadian tertelan bateri butang semakin meningkat selari penggunaan meluas peranti elektronik dan mainan bersaiz kecil yang menggunakan sumber kuasa itu.
“Walaupun insiden ini dianggap jarang berlaku, ia berada pada tahap tertinggi dalam senarai kecemasan perubatan melibatkan objek asing yang tertelan.
"Ini kerana akibatnya boleh berlaku dengan cepat dan sangat serius,” jelas beliau.
Dr. Yee Ming juga menekankan bahawa simptom awal sukar dikenalpasti dan sering menyerupai gejala biasa seperti air liur meleleh, batuk, sakit tekak, tersedak atau pernafasan berbunyi.
Tambahan pula, kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga tiga tahun kumpulan yang paling berisiko sering tidak dapat meluahkan ketidakselesaan dialami atau memberitahu apa telah tertelan.
Ibu bapa disaran memilih mainan tidak menggunakan bateri untuk anak kecil bagi mengurangkan risiko tertelan. — Gambar hiasan/Freepik dijana AI
Kesan sampingan cepat, bahaya
Jelas lanjut, bahawa bateri yang tersangkut dalam tubuh boleh menyebabkan kerosakan dalaman sepanjang tempoh dua jam selepas tertelan.
"Jika berada dalam saluran pernafasan, ia boleh menyukarkan pernafasan. Jika berada di esofagus, ia menyebabkan kesukaran menelan dan muntah berterusan," katanya.
Lebih membimbangkan, interaksi kimia antara bateri dengan tisu lembap badan menghasilkan bahan beralkali yang mampu menghakis tisu organ berdekatan dengan cepat.
Kerosakan itu boleh menyebabkan komplikasi serius dan mengancam nyawa.
Antara komplikasi dikenalpasti termasuk:
1. Kematian
2. Fistula (sambungan tidak normal antara esofagus dan organ lain seperti trakea atau aorta).
3. Penyempitan saluran akibat parut.
4. Lumpuh pita suara.
5. Jangkitan paru-paru yang teruk.
Kesan jangka panjang termasuk gangguan pemakanan, keperluan pemakanan melalui tiub, pembedahan berulang dan trauma emosi serta psikologi.
Diagnosis awal
"X-ray adalah kaedah paling mudah untuk mengesan objek asing jika dilakukan awal,” kata beliau.
Namun, sekiranya tertangguh, ujian pengimejan yang lebih terperinci seperti imbasan CT mungkin diperlukan untuk menilai tahap kerosakan tisu.
Beliau turut berkongsi tentang satu kes berjaya dirawat dengan cepat kerana insiden tertelan bateri disaksikan sendiri oleh ibu bapa, membolehkan tindakan segera diambil dan kerosakan dapat diminimumkan.
Namun tidak semua kes berakhir dengan baik kerana dalam satu insiden lain, bateri hanya dapat dikenalpasti semasa pembedahan, selepas kanak-kanak mengalami pendarahan dalaman yang teruk.
Diyana berkata, ibu bapa perlu mengambil tindakan proaktif untuk mengelakkan insiden kanak-kanak kecil tertelan bateri butang.
Peranan ibu bapa dan masyarakat
Menurut Diyana Hashim, 37, ibu kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun, ibu bapa harus sentiasa berjaga-jaga dan menyimpan bateri butang di tempat yang tidak boleh dicapai oleh anak kecil.
"Pastikan peralatan dan mainan yang menggunakan bateri ini dipasang dengan penutup yang dikunci atau diskru ketat.
"Semua ahli keluarga, termasuk anak yang lebih besar, perlu tahu tindakan kecemasan yang perlu diambil," tegasnya.
Diyana turut menyatakan bahawa ramai ibu bapa tidak menyedari kesan serius tertelan bateri butang kerana kekurangan informasi dan kempen pencegahan yang menyeluruh.
Dr. Yee Ming dan Diyana sepakat bahawa pendidikan dan pencegahan adalah kunci utama dalam melindungi nyawa kanak-kanak.
"Kita tidak boleh menunggu sehingga kemalangan berlaku baru bertindak. Langkah pencegahan, pendidikan dan rumah yang selamat perlu menjadi keutamaan," kata Diyana.
Dr. Yee Ming menambah, “Banyak bahaya dalam rumah yang tersembunyi secara terang-terangan. Kita perlu terus meningkatkan kesedaran untuk mengurangkan risiko kecederaan pada kanak-kanak.” — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram