
DI sebalik senyum manis dan lakonan penuh emosi seorang Lisdawati, tersimpan sebuah kisah yang jarang sekali dikongsi kepada umum.
Kisah tentang seorang ibu, sehelai telekung dan pengorbanan yang tidak ternilai.
Bagi pelakon itu, telekung bukan sekadar pakaian ibadah ia adalah simbol kasih seorang ibu, saksi susah payah membesarkan anak-anak dan sumber rezeki yang menyulam hidup mereka sejak kecil.
BACA LAGI: Dekorasi rumah sewa tanpa tebuk struktur asal, 5 cara bijak penyewa hias kediaman
Tidak ramai tahu, Lisdawati sebenarnya membesar dalam suasana yang sangat sederhana.
Rumahnya ketika itu sering dipenuhi kain putih dan bunyi mesin jahit, sementara ibunya tekun menjahit telekung sulam tangan sehelai demi sehelai, tanpa mengenal penat.
Kini, setiap helaian masih disimpannya menjadi kenangan paling menyentuh yang tidak mampu ditukar dengan apa pun di dunia.
Air mata Lisdawati hampir mengalir setiap kali berbicara tentang ibunya dan satu kenangan yang begitu utuh dalam hidupnya adalah berkaitan telekung.
"Sebenarnya kalau cakap pasal telekung, sangat berhubung dengan kehidupan saya. Ia agak menyentuh hati, sebab saya memang membesar dengan duit telekung," katanya dalam nada sebak.
Bicara Lisdawati meskipun ibu sudah tiada beliau masih menyimpan dua pasang telekung jahitan sulam klasik hasil tangan ibunya yang penuh kenangan dan kasih.
Jahitan sulam sarat kasih sayang
Segalanya bermula sejak 1980, ketika ibunya mula menjahit telekung secara tangan di rumah, tanpa sebarang pekerja atau bantuan mesin canggih.
"Mak saya potong sendiri, jahit sendiri. Dulu dia guna dua mesin, satu untuk jahit biasa, satu lagi untuk sulam. Tapi sulam itu, dia goyang-goyang tangan. Jarum patah, dia pasang balik," bicara Lisdawati menerusi video yang dikongsikan di media sosial Telekung Siti Khadijah baru-baru ini.
Walaupun masih kecil, Lisdawati masih ingat bagaimana beliau membantu ibu melipat dan menarik kain telekung mengikut ukuran.
Kadang-kadang tangan kecilnya terlanggar jarum tajam, namun ibu tidak pernah memarahinya hanya diam, senyum, dan terus menjahit.
"Saya tengok darah, tapi mak tak marah pun. Saya masih ingat momen itu, dia cuma tenang. Mak saya sangat sabar orangnya."
Masih simpan telekung jahitan ibu
Kini, meskipun ibunya sudah tiada, Lisdawati masih menyimpan dua pasang telekung hasil tangan ibunya jahitan sulam klasik yang penuh kenangan dan kasih seorang ibu.
"Mak saya siap tulis ‘Selamat Hari Jadi’ pada telekung itu. Saya minta dia buat warna oren. Jahitan sulam dia itu, saya simpan sampai sekarang sebab saya rindu sentuhan mak."
Telekung buatan ibunya bukan calang-calang kerana bunga-bunga sulam seperti kekwa dan lili menghiasi setiap helaian dengan teliti.
Disebabkan kualitinya, tempahan datang dari pelbagai pihak termasuk orang berada dan kakitangan pejabat yang mahukan rekaan eksklusif.
"Mak saya boleh dapat hampir lima ke enam ribu sebulan masa itu, walaupun hanya jual musim haji."
Jatuh bangun seorang ibu
Namun, semuanya berubah apabila mesin sulam automatik dari China mula membanjiri pasaran sekali gus permintaan terhadap telekung sulaman tangan semakin merosot.
"Bisnes mak terjejas teruk. Dia terpaksa berhenti. Lepas itu dia kerja macam-macam, jadi sekuriti pun pernah, sebelum saya jadi artis," kata Lisdawati, menahan sebak.
Kisah itu bukan sekadar kenangan bagi Lisdawati, ia adalah akar kekuatannya, pelajaran hidup paling besar yang diwariskan oleh seorang ibu.
Kasih sayang boleh dijahit, benang demi benang, menjadi pelindung jiwa yang tidak akan koyak dimakan waktu.
Setiap kali menyentuh telekung itu, Lisdawati tahu dia sedang menyentuh kasih ibu yang tak pernah hilang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram