
BAGI ramai penyewa rumah, keinginan untuk menjadikan ruang kediaman lebih selesa dan cantik sering kali terbantut dek batasanstatus ‘rumah sewa’.
Kebanyakan kontrak penyewaan melarang sebarang pengubahsuaian kekal, tidak membenarkan penukaran struktur atau cat asal, malah kadangkala tidak membenarkan satu pun lubang ditebuk di dinding.
Namun begitu, semua itu tidak bermakna anda perlu hidup dalam ruang yang hambar dan membosankan.
BACA LAGI: Landskap tropika premium, seni halaman kediaman sentuhan profesional, bukan sekadar pokok dan rumput
Dengan pendekatan kreatif dan bahan-bahan mesra penyewa, sesiapa sahaja boleh ‘transform’ rumah sewa menjadi kediaman selesa, bergaya dan mencerminkan personaliti sendiri.
Paling penting tanpa menjejaskan struktur asal rumah atau menyebabkan kehilangan wang deposit.
Berikut ialah lima cara praktikal dan bergaya boleh digunakan untuk menghias rumah sewa:
Penggunaan wallpaper jenis ‘peel-and-stick’ menjadi pilihan popular. — Agensi
1. Wallpaper peel-and-Ssick: Dinding baharu, tanpa cat
Salah satu cabaran utama bagi penyewa adalah dinding rumah yang selalunya dibiarkan kosong atau dicat dengan warna standard seperti putih atau krim kusam.
Bagi mengubah penampilan ruang tanpa perlu menyentuh cat asal, penggunaan wallpaper jenis ‘peel-and-stick’ menjadi pilihan yang sangat popular.
Wallpaper jenis itu direka khas untuk ditampal dan ditanggalkan dengan mudah tanpa meninggalkan kesan pada permukaan.
Ia hadir dalam pelbagai corak dan warna, menjadikan alat terbaik untuk mencipta feature wall yang menarik atau memberi nafas baharu kepada ruang tamu serta bilik tidur.
Tidak terhad pada dinding semata-mata, wallpaper itu juga boleh digunakan pada permukaan seperti pintu almari, kabinet dapur dan bahagian belakang rak buku.
Jika anda sukakan gaya yang berani, pilih corak geometri moden atau motif tropikal untuk ruang tamu.
Manakala untuk bilik tidur pula, corak lembut seperti marble, floral atau tekstur kain boleh memberi suasana yang lebih tenang dan damai.
Rel langsir jenis 'Tension Rod' atau batang spring boleh dipasang tanpa paku. — Agensi
2. Langsir cantik tanpa tebuk dinding
Selain daripada dinding, satu lagi elemen penting dalam menjadikan rumah lebih hidup ialah pencahayaan semula jadi.
Namun, ramai penyewa menghadapi cabaran untuk menggantung langsir kerana tidak dibenarkan menebuk lubang pada bingkai tingkap atau dinding.
Penyelesaiannya mudah adalah dengan menggunakan rel langsir jenis 'Tension Rod' atau batang spring boleh dipasang tanpa paku.
Alternatif lain ialah menggunakan penyangkut pelekat kuat seperti 'Command Hooks' yang direka untuk menampung berat tertentu dan tidak merosakkan permukaan apabila ditanggalkan.
Dengan teknik itu, anda bebas memilih langsir yang sesuai mengikuti suasana rumah.
Kain langsir jenis linen atau sheer membenarkan cahaya masuk dengan lembut dan memberikan efek luas dan lapang kepada ruang.
Pilih warna-warna neutral seperti putih krim, kelabu cerah atau pastel untuk suasana tenang atau warna-warna gelap seperti navy blue atau hijau zamrud jika anda mahu ruang nampak lebih dramatik.
Kehadiran hijau dalam rumah terbukti secara psikologi membantu menenangkan fikiran dan mencantikkan ruang secara keseluruhan. — Agensi
3. Tanaman dalaman: nyaman, hidup dan 'Instagrammable'
Dekorasi rumah bukan sahaja soal warna dan langsir tetapi juga bagaimana anda membawa kehidupan ke dalam ruang itu.
Salah satu cara yang paling berkesan dan mesra bajet ialah dengan menggunakan tanaman dalaman.
Pokok seperti lidah jin (snake plant), pokok duit-duit dan pothos bukan sahaja mudah dijaga, malah berfungsi sebagai penapis udara semula jadi.
Kehadiran hijau dalam rumah terbukti secara psikologi membantu menenangkan fikiran dan mencantikkan ruang secara keseluruhan.
Jika ruang sempit atau cahaya semula jadi kurang, anda boleh memilih tanaman tiruan berkualiti tinggi yang kini banyak ditawarkan di pasaran.
Untuk efek estetik, gunakan pasu dengan bentuk dan warna yang unik seperti pasu tanah liat bertekstur, rattan atau seramik bermotif misalnya.
Susun tanaman itu di atas meja kopi, rak buku atau digantung pada dinding menggunakan penyangkut tanpa paku.
Gubahan pokok-pokok kecil itu boleh menjadi titik fokus visual yang menyegarkan ruang secara keseluruhan.
4. Pencahayaan plug-in: Suasana 'cozy' tanpa wiring
Satu perkara yang sering diabaikan dalam dekorasi rumah sewa ialah pencahayaan buatan.
Ramai bergantung sepenuhnya pada lampu siling sedia ada yang selalunya jenis kalimantang putih terang lalu menjadikan suasana rumah terasa sejuk dan tidak mesra.
Dengan menambah lampu tambahan seperti lampu lantai, lampu meja dan lampu ‘string lights’, suasana rumah boleh diubah sepenuhnya tanpa perlu pendawaian semula.
Pilih lampu dengan suhu warna ‘warm white’ (sekitar 2700K hingga 3000K) kerana ia lebih lembut dan menenangkan mata, sesuai untuk ruang tamu, bilik tidur atau sudut bacaan.
Lampu lantai di sebelah sofa boleh mencipta sudut rehat yang selesa, sementara lampu meja di bilik tidur menambah sentuhan elegan dan praktikal.
Bagi kesan lebih romantik atau kreatif, string lights boleh digantung di belakang langsir sheer, sepanjang dinding kepala katil atau di keliling cermin.
Kesemuanya boleh dipasang dan ditanggalkan dengan mudah, menjadikan ia pilihan ideal untuk penyewa.
5. Seni dinding dan cermin: Tampal, jangan tebuk
Akhir sekali, tidak lengkap dekorasi rumah tanpa elemen seni atau cermin yang boleh menyerlahkan personaliti penghuni.
Walaupun ramai enggan menggantung bingkai atau cermin kerana takut menjejaskan dinding, kini terdapat pelbagai jenis pelekat dinding yang kuat dan boleh ditanggalkan tanpa merosakkan cat.
Dengan itu, anda bebas menghias dinding menggunakan karya seni, gambar kenangan, petikan motivasi atau cermin hiasan tanpa rasa bersalah.
Jika mahu lebih kesan visual, susun beberapa bingkai kecil hingga menjadi ‘gallery wall’ dengan susunan tersusun tetapi kasual di satu bahagian dinding.
Cermin besar pula sesuai diletakkan bertentangan dengan tingkap kerana ia boleh memantulkan cahaya semula jadi dan menjadikan ruang terasa lebih luas.
Selain itu, cermin juga boleh menjadi hiasan yang menarik dengan rangka bulat, rotan atau kayu gelap bergaya ‘Boho’ dan ‘Scandinavian’.
Kesimpulannya, rumah sewa bukanlah alasan tidak menghias dengan bahan dan alat hiasan yang direka khas untuk tidak merosakkan permukaan asal rumah, anda boleh menjadikan ruang sewa sebagai tempat yang bukan sekadar didiami tetapi disayangi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram