Budak lelaki usia 8 tahun tenang imamkan solat jenazah bapa, tanam cita-cita jadi ustaz


  • Bonda
  • Isnin, 19 Mei 2025

Tangkap layar memaparkan kanak-kanak itu memimpin solat jenazah bapanya yang meninggal dipercayai terlibat dalam kemalangan. — TikTok/@meilingjanne

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengimamkan solat jenazah bapanya mengundang sebak dan sayu dalam kalangan warga maya selepas video detik tersebut tular di media sosial.

Rakaman berdurasi kurang dua minit itu memaparkan kanak-kanak berkenaan kelihatan tenang memimpin solat jenazah dengan bacaan surah Al-Fatihah.

Menerusi video yang dimuat naik oleh ibunya di media sosial, si kecil itu dikatakan menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang ustaz dan sering menyuarakan hasrat mahu berkunjung ke tanah suci Mekah bersama kedua ibu bapanya.

BACA LAGI: Model hijab antarabangsa Rawdah anggun gayakan busana 'rose pink' rekaan Rizman Ruzaini di Cannes

BACA LAGI: Sains membuktikan usus tidak sihat boleh jadi punca penyakit kardiovaskular seperti darah tinggi, jantung

“Abang selalu cakap apabila besar, abang nak jadi ustaz. Abang selalu ajak papa pergi Mekah. Papa cakap papa akan kerja keras. Tapi ALLAH lebih sayangkan papa,” tulis ibu kanak-kanak itu dalam kapsyen video tersebut.

Tambahnya lagi, pemergian suaminya pada hari Jumaat merupakan satu kehilangan besar buat keluarga mereka.

“Papa tinggalkan kami pada Jumaat yang mulia. Papa, walaupun kita tidak sempat pergi Mekah sama-sama, kita jumpa di syurga, ya,” luahnya.

Video berkenaan turut mengundang sebak dalam kalangan warga maya dengan tindakan kanak-kanak terlibat.

Tidak kurang juga yang mendoakan agar cita-citanya tercapai.

"Dahsyatnya didikan. Anak sekecil lapan tahun boleh imamkan solat jenazah ayah sendiri. Besarnya nikmat ALLAH," komen @sitinaquiah.

"Betapa hebatnya didikan ibu bapamu. Semoga menjadi anak yang soleh berjaya di dunia akhirat," ujar @samsiahmuz.

"Semoga adik teruskan cita-cita untuk menjadi ustaz dan dapat menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah," kata @rosnihamdansanip. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram