Model hijab antarabangsa Rawdah anggun gayakan busana 'rose pink' rekaan Rizman Ruzaini di Cannes


  • Gaya
  • Isnin, 19 Mei 2025

Rawdah memilih busana koleksi Rizman Ruzaini ketika menghadiri Festival Filem Cannes 2025. — Instagram/@rizmanruzaini

JENAMA Rizman Ruzaini sekali lagi membuktikan kebolehan mereka di pentas antarabangsa apabila model, penulis blog, aktivis dan bekas editor fesyen Vogue Scandinavia, Rawdah Mohamed tampil menawan pada Festival Filem Cannes 2025 dengan busana rekaan eksklusif.

Ia sekali gus memperkukuhkan jenama tempatan di arena fesyen antarabangsa.

Rawdah berdarah campuran Norway-Somali dan juga seorang pakar dalam bidang kesihatan dikenali ramai kerana fesyen street style-nya yang tersendiri dan usaha memperjuangkan hak wanita Muslim dalam dunia fesyen.

Penampilan model setinggi 173 sentimeter (cm) itu di karpet merah menarik perhatian ramai kerana gayanya yang sederhana, namun sangat elegan dan classy.

BACA LAGI: Syukur dalam rindu, pensyarah cabar diri keluar zon selesa ketika imbau kenangan di awan biru

BACA LAGI: 'Rambut kena gulung walaupun nak tidur', rejim kecantikan 4 jam Intan Najuwa bernilai hampir RM7,000

Ruzaini (kiri) dan Rizman merupakan duo mengasaskan jenama fesyen Rizman Ruzaini. — Instagram/@rizman.n

Busana tersebut memperlihatkan gabungan sempurna antara rekaan moden dan sentuhan klasik yang mempamerkan sisi anggun wanita berhijab.

Menurut Rizman Ruzaini dalam hantaran di Instagram, persalinan berkenaan diperbuat daripada kain sutera lembut yang memberi keselesaan dan kemewahan pada si pemakai.

Bahagian atasnya direka kemas dengan deretan butang di belakang, manakala bahagian bawahnya berbentuk skirt kembang potongan princess.

Rawdah turut melengkapkan penampilannya dengan kasut bertumit tinggi jenis pointed-toe daripada jenama Buttonscarves, sekali gus menaikkan seri keseluruhan gaya beliau.

Rekaan itu bukan sahaja menonjolkan kehalusan fabrik dan teknik jahitan yang rapi, malah mengekalkan nilai fesyen patuh syariah yang semakin mendapat tempat di pentas fesyen dunia.

Bukan itu sahaja, detik tersebut juga membuktikan bahawa fesyen berhijab tidak menghalang seseorang untuk tampil bergaya dan berprestij di acara bertaraf global. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram